Atlet angkat berat negara, Muhammad Hafizuddin Roslin berdepan ujian berat apabila terpaksa menjalani pembedahan amputasi tangan kanan selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada malam Isnin lalu.
Perkembangan menyedihkan itu mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan yang hadir menziarahi atlet berkenaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) bersama Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Rahimi Ismail.
Menurut Menteri Belia dan Sukan, keputusan untuk melakukan amputasi tangan kanan Hafizuddin dibuat oleh pasukan perubatan bagi mengelakkan komplikasi kesihatan yang lebih serius.
Meskipun berdepan kehilangan anggota badan yang menjadi kekuatan utamanya sebagai atlet angkat berat, Hafizuddin dilaporkan berada dalam keadaan baik dan menunjukkan semangat yang tinggi.
“Sejak di bangku sekolah, Udin bina kekuatan dengan tangannya sendiri. Hari ini beliau berdepan ujian yang jauh lebih berat. Saya tak dapat bayangkan betapa peritnya buat Udin dan keluarga.
“Alhamdulillah, pagi ini Udin dalam keadaan baik dan semangatnya cukup kuat.
“Janji saya, Udin tak akan keseorangan,” katanya menerusi perkongsian berhubung lawatan tersebut.
Kerajaan Tanggung Sepenuhnya Kos Rawatan Muhammad Hafizuddin Roslin
Dalam pada itu, KBS menerusi satu kenyataan media memaklumkan bahawa kerajaan akan menanggung sepenuhnya kos rawatan Hafizuddin sepanjang beliau menerima rawatan di HKL.
Menerusi Majlis Sukan Negara (MSN), segala perbelanjaan termasuk kos pembedahan, rawatan susulan serta penginapan di wad akan ditanggung sehingga atlet berkenaan dibenarkan keluar dari hospital.
Ads
Malah, elaun latihan Hafizuddin juga akan diteruskan seperti biasa sehingga satu ketetapan lanjut dibuat.
Bukan itu sahaja, keluarganya turut disediakan kemudahan penginapan dan makan sepanjang menemani beliau mendapatkan rawatan di hospital.
Bantuan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha memastikan kebajikan Muhammad Hafizuddin Roslin dan keluarganya terus mendapat perhatian sepanjang tempoh rawatan serta pemulihan selepas kemalangan berkenaan.
Layak Terima Manfaat Insurans Sekitar RM120,000
Selain bantuan perubatan, Hafizuddin turut layak menerima manfaat insurans yang dianggarkan berjumlah RM120,000 menerusi Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet (MACE).
Atlet berkenaan juga difahamkan telah mencarum di bawah Skim Lindung 24 Jam Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sejak Ogos lalu.
Ads
Berdasarkan semakan awal, Hafizuddin dijangka layak menerima bayaran pukal sekali gus sebanyak RM39,060.58 serta bayaran bulanan RM915.84 seumur hidup.
Sepanjang tempoh cuti sakit, beliau turut layak menerima bayaran sebanyak RM38.16 sehari tanpa had bilangan hari, selain faedah perubatan dan kemudahan pemulihan jasmani serta vokasional.
Bagaimanapun, jumlah manfaat PERKESO tersebut masih tertakluk kepada pengesahan dan penilaian lanjut pihak berkaitan.
Manfaat yang dinyatakan itu dijangka dapat membantu meringankan beban kewangan Muhammad Hafizuddin Roslin, khususnya dalam menghadapi perubahan kehidupan selepas kehilangan tangan kanan akibat kemalangan tersebut.
Sokongan Jangka Panjang Buat Hafizuddin
KBS turut memberi jaminan bahawa kebajikan Hafizuddin tidak akan terhenti setakat bantuan kewangan dan rawatan perubatan semata-mata.
Ads
Sebaliknya, pihak kementerian akan meneliti bentuk sokongan jangka panjang yang bersesuaian, termasuk aspek pemulihan, kaunseling, penyesuaian kehidupan serta peluang masa depan atlet berkenaan.
Perhatian terhadap aspek tersebut penting memandangkan Hafizuddin bukan sahaja berdepan proses pemulihan fizikal, malah perlu menyesuaikan diri dengan perubahan besar dalam kehidupan seharian dan perjalanan kerjayanya sebagai atlet negara.
Dalam masa sama, Menteri Belia dan Sukan turut menyeru orang ramai agar mendoakan kesejahteraan Hafizuddin dan keluarganya dalam menghadapi dugaan tersebut.
“Mohon semua sertakan Udin dan keluarga dalam doa. Moga-moga Udin terus tabah,” katanya.
Dengan sokongan kerajaan, pihak berkaitan serta keluarga, diharapkan Muhammad Hafizuddin Roslin terus diberikan kekuatan untuk melalui proses pemulihan dan menghadapi cabaran yang mendatang.
Sumber: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Menteri Belia dan Sukan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bakal membuka permohonan pengambilan 20,000 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG9 secara lantikan kontrak atau Contract of Service (CoS) bermula 2 hingga 20 Mac ini sebagai langkah proaktif menangani keperluan guru di seluruh negara.
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, hebahan rasmi berkaitan pengambilan 20,000 guru KPM DG9 itu akan dibuat pada 23 Februari, manakala proses saringan dan temu duga dijadualkan berlangsung dari 27 April hingga 14 Mei dengan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).
Langkah Strategik Menangani Kekurangan Guru
Menurut beliau, pengambilan berskala besar ini merupakan sebahagian daripada persediaan awal KPM bagi menyokong pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 yang bakal menjadi kerangka utama pembangunan pendidikan negara untuk tempoh sedekad akan datang.
Selain itu, pengambilan ini turut bertujuan menampung keperluan tenaga pengajar susulan pelaksanaan kemasukan kanak-kanak enam tahun ke Tahun Satu secara sukarela bermula tahun hadapan, yang dijangka meningkatkan bilangan murid di sekolah rendah seluruh negara.
“KPM komited memastikan jumlah guru mencukupi di sekolah-sekolah di semua negeri, termasuk kawasan luar bandar dan pedalaman, di samping memperkukuh kualiti pendidikan selaras dengan agenda Kerajaan MADANI,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.
Proses Saringan dan Latihan Ikhtisas Calon
Dr Mohd Azam menjelaskan bahawa setiap calon yang berjaya dalam pengambilan 20,000 guru KPM DG9 ini akan melalui proses saringan yang ketat bagi memastikan hanya individu yang benar-benar layak dan kompeten dipilih untuk menyertai perkhidmatan pendidikan negara.
Semua calon yang dilantik diwajibkan menjalani latihan ikhtisas di Institut Pendidikan Guru (IPG) KPM sebelum ditempatkan di sekolah.
Latihan ini merangkumi pelbagai bidang pengkhususan, termasuk pedagogi, pengurusan bilik darjah, pentaksiran pembelajaran serta penguasaan teknologi pendidikan selaras dengan keperluan semasa.
Sokongan Kepada Agenda Kerajaan MADANI
Pengambilan besar-besaran ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkasa sistem pendidikan negara demi manfaat jangka panjang anak-anak Malaysia.
Pendidikan berkualiti terus dijadikan teras utama pembangunan negara selaras dengan aspirasi melahirkan generasi berilmu, berdaya saing dan berakhlak tinggi.
Dalam masa yang sama, inisiatif pengambilan 20,000 guru KPM DG9 ini turut membuka peluang kerjaya yang besar kepada graduan pendidikan serta lepasan institusi pengajian tinggi yang berminat untuk menyumbang bakti dalam sektor pendidikan awam.
KPM menasihatkan semua calon yang berminat agar sentiasa mengikuti pengumuman rasmi dan memastikan permohonan dibuat dalam tempoh yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang kesulitan.
Sumber : Berita Harian
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Baru-baru ini, kerajaan telah mengumumkan diskaun tol sebanyak 50 peratus sempena sambutan Aidilfitri bertujuan meringankan kos perjalanan rakyat yang pulang ke kampung halaman.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu dijangka melibatkan peruntukan kewangan kira-kira RM21.03 juta sebagai pampasan kepada syarikat konsesi lebuh raya.
“Inisiatif ini membabitkan tanggungan kewangan berjumlah RM21.03 juta bagi tujuan pampasan kepada syarikat konsesi tol,” katanya.
Dalam pada itu, diskaun 50 peratus ini akan berkuat kuasa bermula jam 12.01 tengah malam pada 18 Mac 2026 hingga 11.59 malam 19 Mac 2026, khusus untuk kenderaan persendirian Kelas 1 sahaja.
Namun begitu, pengecualian diberikan di beberapa lokasi, iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
Langkah ini adalah selari dengan pendekatan diskaun musim perayaan sebelum ini dan sama seperti yang dilaksanakan semasa sambutan Hari Raya tahun lalu, menandakan tiada lagi pemberian tol percuma seperti sebelum ini.
Pada masa yang sama, kerajaan berharap langkah ini dapat membantu rakyat mengurangkan perbelanjaan semasa musim perayaan dan memastikan perjalanan balik kampung lebih lancar.
Diskaun tol Aidilfitri 2026 ini juga merupakan langkah strategik kerajaan untuk meringankan tekanan kos sara hidup rakyat, sambil terus menyokong sistem pengurusan lebuh raya secara konsesi.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Terbaru, individu yang didapati membuang sampah di tempat awam bakal berdepan hukuman lebih tegas apabila Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Pindaan) 2025 mula dikuatkuasakan sepenuhnya bermula 1 Januari 2026.
Menerusi pelaksanaan akta berkenaan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 selain Perintah Khidmat Masyarakat selama tempoh maksimum 12 jam sebagai langkah penguatkuasaan dan pencegahan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Khalid Mohamed memaklumkan bahawa undang-undang tersebut terpakai kepada semua pihak tanpa sebarang pengecualian, termasuk pelancong asing yang berada di negara ini.
Kredit foto: Jurnalis Shah AlamGambar sekadar hiasan (Kredit foto: KKM)
Tambah beliau, pendekatan perintah khidmat masyarakat diperkenalkan bukan semata-mata untuk menghukum, sebaliknya sebagai usaha mendidik masyarakat agar lebih peka terhadap tanggungjawab menjaga kebersihan kawasan awam.
Pada masa yang sama, langkah itu juga dilihat sebagai satu inisiatif jangka panjang untuk membentuk sikap masyarakat supaya tidak lagi membuang sampah secara sewenang-wenangnya, sekaligus mewujudkan persekitaran yang lebih bersih dan selesa.
“Kami ada anggota yang akan pantau dan berada di kawasan-kawasan awam sama ada dalam bentuk penyamaran. Tolonglah jaga dan buang sampah dalam tong disediakan dan jangan buang merata-rata,” katanya.
Gambar sekadar hiasan (Kredit foto: KKM)
Beliau berkata tindakan penguatkuasaan itu melibatkan semua pihak termasuk pelancong asing dan kanak-kanak bagi memastikan pelaksanaannya bersifat menyeluruh, dan ia bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pengurusan sisa dan kebersihan awam.
Sementara itu, antara bentuk perintah khidmat masyarakat yang boleh dikenakan kepada pesalah termasuk aktiviti mengutip sampah, mencuci tandas serta longkang, selain diwajibkan memakai ves khas tertera perkataan ‘khidmat masyarakat’ sepanjang tempoh hukuman dijalankan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!