Bukan mudah untuk membahagikan masa antara pelajaran dan pekerjaan, namun itulah pengorbanan yang dilakukan oleh seorang graduan Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Afiq Aiman Idris, demi mengejar cita-cita dan mengubah nasib keluarga.

Anak muda berusia 24 tahun yang berasal dari Alor Setar, Kedah itu membuktikan bahawa kekurangan dari segi kewangan bukanlah penghalang untuk seseorang mencapai kejayaan dalam bidang akademik.

Lebih membanggakan, Afiq bukan sahaja berjaya menggenggam segulung ijazah, malah sudah memperoleh pekerjaan tetap sebagai Project Operation Executive di Kedah Agro Ausin Berhad, di bawah Ausin Group.

Lakukan Pelbagai Kerja Sambilan Demi Tampung Pengajian

Dilahirkan dalam keluarga sederhana, bapanya, Idris Ahmad, 50, bekerja sebagai pengawal keselamatan sekolah, manakala ibunya, Mah Seroh Nasir, 48, merupakan pembantu kantin sekolah.

Menyedari tanggungjawab dan kemampuan kewangan keluarga, Afiq mengambil inisiatif mencari pendapatan sendiri sejak pandemik COVID-19 dengan bekerja sebagai penghantar makanan GrabFood.

Demi Ubah Nasib Keluarga, Anak Pengawal Keselamatan Gigih Bekerja Hingga Berjaya Genggam Ijazah

Demi Ubah Nasib Keluarga, Anak Pengawal Keselamatan Gigih Bekerja Hingga Berjaya Genggam Ijazah

Bagaimanapun, usaha anak muda ini tidak terhenti di situ apabila dia turut melakukan pelbagai pekerjaan sambilan termasuk menjadi pengawal keselamatan gantian, pemandu kereta sewa, menjual lokching serta menerima tempahan kek coklat moist.

Malah, Afiq turut menjual makanan ringan seperti mi segera, biskut dan gula-gula di kawasan Inapan Siswa YAB bagi menambah pendapatan.

Ads

Apa yang lebih mengagumkan, kesibukan mencari rezeki langsung tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan pengajian.

Seawal Subuh Sudah Mula Mencari Rezeki

Rutin harian Afiq boleh dikatakan cukup padat berbanding kebanyakan mahasiswa lain.

Seawal pagi selepas menunaikan solat Subuh, dia sudah mula menyediakan lokching dan makanan ringan sebelum menghantarnya ke bangunan Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM) untuk dijual.

Selesai urusan tersebut, Afiq bergegas menghadiri kuliah seperti biasa sebelum memanfaatkan masa terluang untuk mengambil tempahan pemandu kereta sewa dan menyiapkan pesanan kek pelanggan.

Menjelang malam, dia kembali bekerja sebagai pemandu kereta sewa dan hanya pulang sekitar pukul 10 malam sebelum meneruskan urusan penghantaran kek.

Ads

Ketika hujung minggu dan cuti semester pula, Afiq pulang ke Alor Setar untuk bekerja sebagai penghantar GrabFood, selain sesekali mengambil syif pengawal keselamatan dari pukul 8 malam hingga 8 pagi.

Dalam kesibukan itu, dia juga tetap memberikan komitmen sebagai anggota Kor SUKSIS UUM yang telah ditauliahkan.

Demi Ubah Nasib Keluarga, Anak Pengawal Keselamatan Gigih Bekerja Hingga Berjaya Genggam Ijazah

Demi Ubah Nasib Keluarga, Anak Pengawal Keselamatan Gigih Bekerja Hingga Berjaya Genggam Ijazah

Rezeki Dapat Kerja Tetap Selepas Latihan Industri

Kesungguhan Afiq turut terserlah ketika menjalani latihan industri di Kedah Agro Ausin Berhad, Langkawi.

Selain menggalas tugas sebagai Aquaculture Admin Executive bagi menggantikan kakitangan yang bercuti bersalin, dia masih bekerja sebagai penghantar GrabFood pada sebelah petang dan membantu di dapur Ayam Gepuk Pak Raden Langkawi pada waktu malam.

Ads

Berkat disiplin serta komitmen yang ditunjukkan, Afiq akhirnya diserap sebagai kakitangan tetap dan kini menyandang jawatan Project Operation Executive.

Hasil pendapatan daripada pelbagai pekerjaan itu juga membolehkannya memiliki sebuah motosikal dan kereta menggunakan wang titik peluh sendiri.

Terbaharu, Afiq berjaya menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Perniagaantani dan menerima skrol yang disampaikan oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, di Dewan Mu’adzam Shah.

Kisah Afiq sememangnya wajar dijadikan inspirasi kepada golongan muda bahawa kejayaan bukan hanya bergantung pada kesenangan hidup, tetapi turut menuntut usaha, disiplin dan kesungguhan untuk mengubah masa depan.

Sumber : Universiti Utara Malaysia (Official FB)

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di
Download sekarang!

KLIK DI SEENI
∞
∞
Ads