
Baru-baru ini, usahawan dan pengasas Mokky’s Pizza, Muhammad Shahmi Shaharudin atau lebih dikenali sebagai Mr. Mokky meraih perhatian apabila berjaya merangkul tempat ketiga dalam California Milk Pizza Competition (International) yang berlangsung di Culinary Institute of America (CIA), Napa Valley, Amerika Syarikat.
Menerusi sebuah perkongsian di Facebook Mokky’s Pizza, jenama itu meluahkan rasa syukur atas kejayaan yang diraih oleh salah seorang pengasasnya selepas berjaya menamatkan pertandingan di kedudukan tiga terbaik. Mereka turut menyifatkan penyertaan tersebut sebagai satu pengalaman bermakna yang membuka peluang untuk menimba ilmu, membina rangkaian serta memperkenalkan bakat Malaysia di peringkat antarabangsa.
Difahamkan, keunikan penyertaan Mr. Mokky terletak pada idea piza bertemakan ‘Beef Birria with Malaysian Flavour Meets California Artisan Cheese’ yang diinspirasikan daripada rasa asam pedas. Gabungan elemen tempatan dengan keju artisan California itu berjaya menghasilkan sebuah ciptaan yang menonjol dari segi identiti dan inovasi.
Pada masa yang sama, Mokky’s Pizza turut menyifatkan kejayaan itu sebagai satu perjalanan luar biasa daripada sebuah jenama tempatan sehingga berjaya berdiri di podium pertandingan antarabangsa.
Menurutnya, pengalaman tersebut bukan sekadar mengejar kemenangan semata-mata, malah memberi peluang untuk mempelajari teknik baharu, berhubung dengan penggiat industri dari pelbagai negara dan mengetengahkan keupayaan bakat Malaysia kepada dunia.
“Pengalaman ini lebih daripada sekadar sebuah pertandingan. Ia merupakan peluang untuk belajar, berhubung dan mengetengahkan bakat Malaysia di pentas global,” katanya.
Untuk info, California Milk Pizza Competition merupakan pertandingan kulinari antarabangsa anjuran California Milk Advisory Board (CMAB) yang menghimpunkan pembuat piza dan cef profesional dari seluruh dunia. Setiap peserta dicabar menghasilkan resipi kreatif menggunakan produk tenusu Real California Milk yang terkenal dengan standard kualiti tinggi.
Sementara itu, pihak Mokky’s Pizza turut merakamkan penghargaan kepada California Milk Advisory Board atas sokongan yang diberikan sepanjang penyertaan mereka. Mereka turut memaklumkan bahawa pengalaman tersebut bakal menjadi inspirasi kepada idea serta menu baharu yang akan diperkenalkan pada masa akan datang.
Kejayaan ini sekaligus membuktikan bahawa cita rasa Malaysia mempunyai potensi besar untuk diketengahkan di peringkat antarabangsa apabila digabungkan dengan kreativiti dan inovasi. Ia juga diharap dapat menjadi pemangkin kepada lebih ramai usahawan tempatan untuk terus berani mencipta kelainan dalam industri makanan.
Sumber: Facebook Mokky’s Pizza
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.