
Baru-baru ini, Universiti Multimedia (MMU) mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi universiti swasta pertama di Malaysia yang melancarkan Fakulti Kecerdasan Buatan dan Kejuruteraan (FAIE) di kampus Cyberjaya pada 18 Ogos, semalam.
Menurut MMU dalam satu perkongsian di Instagram, fakulti baru ini dibangunkan untuk memastikan pelajar bukan sahaja menguasai teori AI, tetapi juga memiliki kemahiran praktikal dalam membangunkan serta mengintegrasi penyelesaian AI merentas pelbagai industri. Selain itu, MMU juga menekankan kepentingan membentuk graduan yang mampu menyumbang terus kepada ekosistem ekonomi digital negara.
Dalam pada itu, Presiden MMU, Prof. Datuk Dr. Mazliham Mohd Su’ud berkata penubuhan FAIE adalah langkah strategik untuk memperbaharui program pengajian.
“Kami menawarkan ijazah khusus seperti Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Kecerdasan Buatan Gunaan dan Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Robotik Pintar, selain program Sarjana dan Ph.D yang berfokuskan penyelidikan,” katanya.
Beliau juga menjelaskan fakulti ini akan dilengkapi dengan AI Transformation Centre (AIX), hasil inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama MMU. Projek bernilai RM37 juta ini menampilkan 13 makmal berteknologi tinggi sebagai hab inovasi, kerjasama kerajaan-industri-akademia, pembangunan PKS dan pemerkasaan luar bandar.
“Kami juga amat menghargai kehadiran 40 rakan industri strategik hari ini atas komitmen mereka untuk bekerjasama dengan kami dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja berkemahiran, malah bersedia untuk industri sejak hari pertama,” ujarnya lagi.
Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris, beliau menegaskan kepentingan AI sebagai pemangkin generasi baharu pemikir dan inovator.
“FAIE adalah satu lagi langkah ke hadapan untuk MMU, dan juga untuk TM sendiri, kerana ia menyokong aspirasi kami untuk menjadi Digital Powerhouse menjelang 2030,” katanya.
Pada majlis sama, MMU dan MCMC turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) melalui AIX bagi memperkukuh pengajaran serta penyelidikan fakulti itu. Sehubungan itu, AIX dijangka bakal menjadi pemacu utama dalam menjadikan Malaysia sebagai kuasa serantau dalam inovasi AI.
Sekadar info, majlis pelancaran itu telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan diakhiri dengan sesi ‘Temu Anwar’ yang memberi peluang kepada pelajar MMU untuk berinteraksi secara langsung dengan Perdana Menteri, mendengar pandangan beliau, dan mendapat inspirasi untuk turut sama membina masa depan digital Malaysia.
Sumber: Bernama
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.