
Penyanyi rap popular, MK K-Clique mengakui sudah berdamai dengan kisah silam yang pernah dilaluinya dan kini memilih untuk lebih menghargai kehidupan bersama keluarga.
Menurut penyanyi berusia 30 tahun itu, dia tidak melihat perkongsian semula mengenai kisah lampau sebagai sesuatu yang perlu dipersoalkan, sebaliknya menganggap perkara tersebut sebagai peringatan untuk dirinya terus memperbaiki diri.
“Saya dah lepaskan semua masa silam saya. Tak salah kalau orang ‘throwback’ kisah lampau sebab tindakan itu akan beri saya peringatan agar terus berusaha menjadi insan lebih baik.
“Bagi saya tiada masalah sebenarnya, semua orang pun ada kisah silam tersendiri dan turut melalui perubahan dalam melayari fasa kehidupan. Paling penting adanya perubahan.
“Alhamdulillah, saya bersyukur. Segala yang kita lalui dalam kehidupan sama ada baik mahupun sebaliknya dapat dijadikan iktibar,” katanya ketika pelancaran drama bersiri Sekali Lagi Bahagia, baru-baru ini.
Dalam pada itu, anggota kumpulan K-Clique tersebut turut berkongsi mengenai perubahan yang paling dirasainya dalam kehidupan sejak melalui pelbagai fasa.
Jika dahulu dia lebih gemar menghabiskan masa di luar, kini MK mengakui dirinya lebih selesa berada di rumah, terutama apabila dapat meluangkan masa bersama keluarga.
Lebih bermakna, MK kini bergelar bapa kepada seorang cahaya mata, Aya Rayana yang sudah berusia dua tahun.
Bagi dirinya, kesempatan menyaksikan sendiri setiap perkembangan anak tersayang merupakan satu nikmat yang amat dihargai.
MK berkata, jadual lakonannya yang tidak sekerap dahulu juga memberi lebih banyak ruang untuk dia menikmati waktu bersama isteri dan anak.
Malah, keadaan itu membuatkan dia berasa bersyukur kerana berpeluang melihat sendiri proses anaknya membesar di depan mata.
“Saya diberi Allah peluang untuk tengok anak membesar. Dengan kerjaya saya dalam bidang lakonan yang tak terlalu kerap macam sebelum ini, saya percaya itu perancangan-Nya.
“Kalau sibuk berlakon, kadangkala pergi set awal pagi dan balik tak tahu pukul berapa. Jadi masa itu terhad. Tapi sekarang kerja pun ada, masa dengan keluarga pun dapat saya penuhi.
“Sekarang lebih fleksibel. Kalau kerja di luar kawasan saya bawa sekali anak dan isteri. Bekerja sambil manfaatkan masa dengan orang tersayang,” ujarnya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.