Hiburan

Mino WINNER Berdepan Hukuman Penjara 18 Bulan, Mengaku Abaikan Tugas Khidmat Wajib Tentera

Share

Penyanyi rap terkenal, Mino dari kumpulan WINNER mencuri perhatian peminat apabila berdepan kontroversi melibatkan kegagalan melaksanakan perkhidmatan wajib negara dengan sempurna. Isu ini bukan sahaja mengejutkan peminat K-Pop, malah turut menjadi perbualan hangat dalam kalangan media Korea Selatan memandangkan statusnya sebagai figura awam yang berpengaruh.

Memetik laporan Korea JoongAng Daily, Mino atau nama sebenar beliau Song Min-ho (33), berdepan tuntutan hukuman penjara selama 18 bulan oleh pihak pendakwa raya. Tuntutan tersebut dibuat susulan dakwaan kecuaian ketika menjalani perkhidmatan alternatif sebagai pegawai khidmat sosial di sebuah fasiliti di barat Seoul.

Menurut pihak pendakwa, Mino didakwa gagal menjalankan tanggungjawabnya dengan baik sepanjang tempoh perkhidmatan dari Mac 2023 hingga Disember 2024. Lebih mengejutkan, beliau dilaporkan tidak hadir bekerja melebihi 100 hari, walaupun ketidakhadiran itu tidak berlaku secara berturut-turut.

BACA: Mino Winner Berdepan Risiko Penjara Selepas Didakwa Ponteng 102 Hari Ketika Khidmat Tentera

Dalam perbicaraan pertama yang berlangsung di Mahkamah Daerah Barat Seoul, pihak pendakwa berhujah bahawa ketidakhadiran Mino dalam tempoh yang panjang menunjukkan beliau secara efektif tidak melaksanakan tugas yang telah diamanahkan. Malah, laporan turut menyatakan beliau meninggalkan tempat bertugas tanpa alasan kukuh serta gagal melaporkan diri seperti yang ditetapkan.

Mino bagaimanapun tampil mengaku bersalah atas semua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya. Kehadirannya di mahkamah menyaksikan penyanyi itu menerima sepenuhnya tanggungjawab atas tindakannya, selain menyatakan kesediaan untuk memperbaiki kesilapan lalu jika diberi peluang kedua.

“Sebagai individu yang disayangi ramai, saya berasa malu kerana menunjukkan sisi yang memalukan dan bukannya menjadi contoh,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau turut mengakui bahawa masalah kesihatan mental seperti gangguan bipolar dan gangguan panik yang dialami tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengabaikan tanggungjawab.

Untuk info, semua lelaki Korea Selatan yang sihat diwajibkan menjalani sekurang-kurangnya 18 bulan perkhidmatan ketenteraan, sama ada secara aktif atau melalui perkhidmatan alternatif. 

Sementara itu, peminat kini menantikan perkembangan lanjut kes ini serta masa depan kerjaya Mino bersama WINNER, yang sebelum ini dikenali dengan karya muzik unik dan pengaruh besar dalam industri K-Pop.

Sumber: Korea JoongAng Daily

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE