
Pelakon Mimi Lana melafazkan keredhaan yang dirasai setelah selesai acara pengebumian abang kandungnya yang meninggal dunia pada Ahad.
Menurut perkongsian Mimi, 31 semalam, abangnya Muhamad Sharul Affandy Zainal Abidin kembali ke Rahmatullah pada jam 12.30 tengah hari dan meninggalkan seorang balu, Sara serta seorang anak lelaki bernama Sulaiman
Begitupun, Mimi tidak menjelaskan punca pemergian beliau.
Menerusi perkongsian terbaru pada Isnin, Mimi menceritakan betapa mudahnya proses untuk menguruskan jenazah beliau dan bagaimana upacara pengubumian dihadiri oleh kenalan rapat mereka yang enggan berganjak daripada tanah perkuburan selepas segalanya tamat.
Dalam pada itu, Mimi turut meluahkan harapannya agar dapat menemui Allahyarham di kehidupan seterusnya kelak.
“Ya Allah, kalau suatu hari nanti aku pergi, ambil lah aku seperti mana kau ambil abangku Muhamad Sharul Affandy. Aku sangat mencemburui kepergiannya di bulan yang mulia ini.”
“Pasti ada asbab kebaikan yang dibuatnya sehingga kau mengangkat tinggi darjat kepergiannya ini. Dia pergi di bulan yang baik di mana bulan yang kau tutup api neraka serapat-rapatnya.
“Terima kasih ya Allah kau telah pinjamkan sebentar (seorang) manusia yang baik ini kepadaku dan kepada semua orang sekelilingnya,” catat pelakon filem Mencari Ramlee itu.
Dalam pada itu, Mimi turut bersedia untuk menggalas tanggungjawab Allahyarham sebagai seorang figura ‘ibu bapa’ terhadap anak tercinta selama ini.
“Adik janji akan ambil tanggungjawab yang abang dah galas selama hari ini dengan sebaik-baiknya. Seorang abang yang baik, suami yang baik, anak yang baik, kawan yang baik dan manusia yang baik. Syurga tempat yang terbaik untuk abang sebab itu Allah ambil abang,” luahnya lagi.
Tinjauan di ruangan komen mendapati rakan-rakan selebriti turut menzahirkan salam takziah mereka buat Mimi Lana sekeluarga di atas pemergian ini. Antaranya termasuklah Scha Alyahya, Puteri Aishah, Nadiq Aqilah, Rozita Che Wan, Sweet Qismina dan Eyka Farhana.
FOTO: Instagram // missmimilana
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.