
Masjid TNB Bangsar jadi tumpuan Ramadan tahun ini apabila saf solatnya dipenuhi dengan golongan Gen Z. Setiap kali masuk bulan puasa, suasana malam memang berubah.
Dari jalan raya yang sibuk dengan orang cari juadah berbuka, sampailah ke deretan masjid yang mula dipenuhi saf demi saf untuk solat Isyak dan tarawih.
Ada sesuatu tentang Ramadan dia bukan sekadar bulan puasa, tapi bulan yang ‘tarik’ orang kembali ke masjid. Dan tahun ini, fenomena itu jelas kelihatan di Masjid TNB Bangsar.
Bukan sebab kontroversi. Bukan sebab selebriti. Tapi sebab lautan anak muda yang membanjiri ruang solatnya.
Gen Z ‘Serbu’ Masjid TNB Bangsar Untuk Tarawih

Kalau sebut Masjid TNB Bangsar waktu Ramadan, memang tak asing lagi. Setiap tahun jadi spot pilihan untuk iftar dan tarawih. Tapi tahun ni auranya lain macam. Yang datang bukan sekadar ramai majoritinya anak muda.
Momen menarik ini dikongsi oleh seorang pengguna Threads, nasir_misroo, yang sempat merakam suasana penuh dengan Gen Z sambil berseloroh, “Tahniah Gen Z anda memang hebat. Hope kekal sampai hujung Ramadan ye 😁. Siapa tarawih kat Masjid TNB harini?”
Daripada rakaman dan gambar yang tular, memang jelas ruang solat di Masjid TNB Bangsar dipenuhi golongan muda. Saf panjang, rapat dan hampir tiada ruang kosong. Bukan hype kosong, tapi realiti depan mata.
Apa yang lagi menarik, pihak AJK Masjid TNB Bangsar tampil dengan idea kreatif untuk melihat demografi jemaah. Mereka menyediakan papan khas dengan label generasi daripada Gen Alpha, Gen Z, Gen Y sehinggalah ke Silent Generation. Setiap jemaah hanya perlu tampal pelekat mengikut kategori umur masing-masing.
Kolum Gen Z (sekitar umur 13 hingga 28 tahun) penuh dengan pelekat, jauh mengatasi generasi lain. Tempat kedua disandang Gen Y, manakala Gen Alpha berada di tangga ketiga.

Secara visual memang nampak ketara. Ini bukan sekadar andaian, tapi ada ‘data’ yang boleh dilihat terus di papan tersebut. Ia secara tidak langsung membuktikan bahawa Masjid TNB Bangsar benar-benar menjadi pilihan utama anak muda sepanjang Ramadan ini.
Kenapa Masjid TNB Bangsar Jadi Pilihan Anak Muda?
Sebenarnya, Masjid TNB Bangsar memang sudah lama dikenali sebagai antara masjid yang aktif dan mesra komuniti. Pengurusannya tersusun, aliran masuk jemaah lancar, dan suasananya selesa.
Ruang solat yang luas, susun atur teratur serta suasana bersih dan wangi menjadikan pengalaman beribadah lebih tenang. Datang sekali memang rasa nak repeat.
Selain itu, faktor lokasi yang strategik di Bangsar juga memainkan peranan. Kawasan ini dikelilingi institusi pendidikan, kawasan perumahan dan tempat kerja golongan profesional muda. Tak hairanlah Masjid TNB Bangsar mudah jadi ‘port’ pilihan untuk berbuka dan tarawih.
Bila environment dah selesa dan vibe positif, anak muda pun rasa seronok nak datang berjemaah. Dari situ, budaya hadir ke masjid mula terbentuk secara semula jadi.

Bukan Sekadar Trend Ramadan
Saf penuh dengan Gen Z di Masjid TNB Bangsar bukan sekadar pemandangan biasa bulan puasa. Ia simbol harapan bahawa generasi muda hari ini masih punya rasa cinta terhadap masjid dan suasana berjemaah.
Ramai yang berharap fenomena di Masjid TNB Bangsar ini bukan sekadar ‘Ramadan fever’, tetapi menjadi titik mula untuk terus istiqamah mengimarahkan masjid walaupun selepas Syawal nanti.
Kalau momentum ini berterusan, tidak mustahil Masjid TNB Bangsar boleh menjadi contoh bagaimana pendekatan kreatif dan suasana mesra komuniti mampu menarik lebih ramai Gen Z ke masjid.
Pendek kata, Ramadan kali ini benar-benar memperlihatkan satu fenomena yang mengujakan. Saf penuh, ruang solat padat, dan wajah-wajah muda memenuhi setiap barisan di Masjid TNB Bangsar.
Dan semuanya bermula dengan satu perkara yang sama keinginan untuk kembali mendekatkan diri kepada-Nya.
Sumber : Threads nasir_misroo
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!





















