Berita

Masjid Al-Aqsa Sepi Tanpa Solat Sunat Aidilfitri Akibat Sekatan Rejim, Kali Pertama Berlaku Dalam Tempoh 59 Tahun

Share

Buat kali pertama dalam tempoh 59 tahun, umat Islam di Palestin tidak dapat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Al-Aqsa yang terletak di Baitulmuqaddis Timur semalam akibat sekatan yang dikenakan oleh pihak berkuasa Israel.

Memerik laporan Anadolu Ajansi, polis Israel menghalang kemasukan umat Islam di lokasi penting berkenaan atas alasan keselamatan

Apabila rakyat Palestin di Tebing Barat memutuskan untuk bertakbir sambil berarak secara aman di Kota Lama, jemaah diusir dengan kasar oleh polis Israel. Ini termasuklah serangan belantan, dibaling dengan bom denyar dan gas pemedih mata.

Lebih menyedihkan apabila rakyat Palestin turut dilarang meniaga seperti biasa di lokasi kebiasaan, dengan hanya farmasi dan kedai makanan asas yang dibenarkan beroperasi.

Ia bukan lagi satu sekatan keselamatan tetapi juga sekatan ekonomi buat penduduk Palestin yang hidup tanpa punca rezeki.

Ternyata, Aidilfitri kali ini disambut muram tidak seperti tahun-tahun yang lalu apabila Kota Lama sunyi akibat sekatan akses berkenaan.

Ada juga pihak yang menyamakan situasi di sana ibarat ‘bandar hantu’ kerana ketiadaan keraian.

Terdahulu, pihak berkuasa Israel menutup pekarangan Masjid Al-Aqsa setelah beberapa hari memasuki bulan Ramadan.

Situasi tersebut memaksa umat Islam menunaikan solat sunat Tarawih di sekitar Pintu Damsyik dan Pintu Herod sebelum mereka dihalau oleh pasukan polis atas alasan cubaan menyuraikan perhimpunan.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ