
Lakaran: AP Photo menerusi Canberra Times
Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg berdepan pertuduhan hari ini berhubung impak media sosial terhadap kesihatan mental kanak-kanak disamping ketagihannya.
Meta yang bertanggungjawab di sebalik operasi platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan WhatsApp didakwa sengaja mencipta fungsi Instagram yang bersifat ketagihan dalam kalangan pengguna bawah.
Perbicaraan yang berlangsung di Mahkamah Tinggi Los Angeles itu telah menarik minat ramai ibu bapa yang merasakan sentimen sama berlaku kepada anak kecil yang menjadi mangsa kesihatan mental merundum berikutan penggunaan platform media sosial terutamanya Instagram secara obsesif.
Di luar mahkamah pula, sekumpulan ibu bapa yang berkumpul menuduh Zuckerberg dan META mengeksploitasi anak-anak mereka demi keuntungan. Tidak kurang juga ibu bapa yang menuduh punca kematian anak remaja mereka adalah disebabkan Instagram.
Antara poin yang dikeutarakan oleh pendakwa termasuklah fungsi Beauty Filter yang memberi gambaran palsu terhadap pengguna dan ketiadaan fungsi limitasi masa penggunaan aplikasi.
Zuckerberg menerusi keterangan di hadapan juri berkata, beliau mengaku tidak bersalah di atas kesemua pertuduhan tersebut dan menegaskan bahawa Meta mengendalikan keselamatan pengguna dengan cara yang munasabah.
Zuckerberg, 42 juga berkata mereka mempunyai bahawa bukti yang menunjukkan komitmen syarikat terbabit untuk menjaga pengguna muda mereka.
Ini termasuklah dokumen yang menyokong pelbagai langkah keselamatan yang diperkenalkan Meta bagi melindungi golongan remaja, termasuk kawalan privasi dan pemantauan kandungan.
BACA: Meta Ingin Perkenal Pelan Berbayar, Boleh Tonton IG Stories Tanpa Tinggal Jejak Selepas Ini!
Sebagai info, Instagram meletakkan syarat pengguna agar berusia 13 tahun ke atas dan menegaskan kanak-kanak bawah umur tidak dibenarkan untuk mencipta akaun.
Namun, dalam satu dokumen ‘internal’ dari tahun 2015 yang diperolehi pendakwa menunjukkan lebih empat juta pengguna Instagram berusia bawah 13 tahun; iaitu kira-kira 30 peratus kanak-kanak antara usia 10-12 tahun di Amerika Syarikat. Pengguna baharu sekadar perlu mengesahkan mereka berusia lebih 13 tahun.
Hanya pada Disember 2019, Instagram mula mewajibkan pengguna baharunya memasukkan tarikh lahir sebagai salah satu langkah keselamatan pengguna; biarpun wujud sentimen kebimbangan terhadap privasi maklumat peribadi pada waktu itu.
Sekiranya mahkamah memutuskan Meta bersalah, keputusan tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada reputasi syarikat, malah boleh mengakibatkan kerugian berbilion dolar.
Meta juga mungkin dipaksa melakukan perubahan drastik terhadap reka bentuk platform mereka, termasuk mengehadkan ciri tertentu yang didakwa mendorong ketagihan.
Kes Mark Zuckerberg dan Meta ini berpotensi menjadi titik perubahan besar dalam landskap media sosial global dan menjadi penanda aras baharu terhadap kawal selia platform digital.
Dalam pada itu, pihak YouTube yang turut didakwa untuk kes sama pada hari ini menafikan dakwaan dalam saman tersebut.
Apa pendapat korang sebagai pengguna Instagram mengenai isu kesihatan mental merundum ini?
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.