
Pejam celik, anak yang selama ini dianggap masih kecil kini sudah pun melangkah ke alam dewasa.
Pelakon, Norman Hakim mencuri perhatian menerusi perkongsian istimewa sempena ulang tahun kelahiran ke-18 anak perempuannya, Marissa Dania.
Menerusi hantaran di Instagram, Norman menitipkan ucapan penuh kasih sayang buat anaknya yang mesra dipanggil Baby. Walaupun usia Marissa semakin meningkat, sebagai seorang bapa, Norman mengakui anak perempuannya itu tetap akan menjadi anak kecil kesayangannya.
Norman turut meluahkan betapa pantas masa berlalu apabila anak perempuannya kini secara rasminya sudah berusia 18 tahun. Namun di matanya, Marissa tetap merupakan anak yang akan disayangi dan dilindunginya sampai bila-bila.
Bagi Norman, usia 18 tahun bukan sekadar pertambahan angka, sebaliknya menjadi titik permulaan kepada fasa baharu apabila anaknya mula mengenali kehidupan dengan lebih luas, mengejar impian serta membina masa depan sendiri.
Sebagai seorang bapa, Norman sedar dia mungkin tidak mampu menemani setiap perjalanan anaknya. Namun, aktor itu memberi jaminan bahawa dirinya akan sentiasa berada di belakang Marissa setiap kali diperlukan.
“Papa may not be able to walk every path with you, but I’ll always be right behind you. When you’re tired, please look back and ching! Insya-Allah Papa ada.
“When you feel like to fall, reach out and ching! Insya-Allah Papa ada lagi,” tulisnya berseloroh.
Menurut Norman, sekiranya Marissa berasa penat dalam menjalani kehidupannya, dia hanya perlu menoleh ke belakang kerana Insya-Allah bapanya akan sentiasa ada. Begitu juga apabila anaknya berasa seperti mahu jatuh, Norman mahu Marissa tahu bahawa dia sentiasa boleh menghulurkan tangan untuk mendapatkan sokongan daripadanya.
Dalam pada itu, Norman turut menitipkan beberapa pesanan penting buat anak perempuannya dalam mengharungi fasa kehidupan yang semakin mencabar.
Katanya, dia tidak pernah mengharapkan Marissa menjadi seorang yang sempurna. Sebaliknya, dia mahu anaknya terus menjadi insan yang baik, menjaga maruah dan hati serta kekal kuat ketika berdepan dengan setiap cabaran.
Paling penting, Norman mengingatkan Marissa Dania supaya sentiasa meletakkan Allah sebagai keutamaan dalam setiap perkara yang dilakukan sepanjang perjalanan kehidupannya.
Norman turut mendoakan agar anaknya sentiasa berada dalam perlindungan Allah, terutama pada waktu dirinya tidak mampu berada di sisi. Dia berharap agar setiap langkah Marissa mendapat petunjuk dan anaknya sentiasa dikelilingi individu yang benar-benar menyayanginya.
Doa tersebut menjadi antara pesanan bermakna seorang bapa kepada anak perempuan yang kini semakin dewasa dan bakal melalui lebih banyak pengalaman serta cabaran dalam kehidupan.
Menutup ucapan tersebut, Norman sekali lagi mengingatkan bahawa tidak kira sejauh mana anaknya melangkah atau sebesar mana dunianya selepas ini, status sebagai ‘Baby’ tidak akan pernah berubah di matanya.
“No matter how grown-up you become or how big your world gets, dalam dunia Papa, you will always be my Baby.
“Happy 18th Birthday cayang ‘tompet cumbat’ Papa. Papa loves you… always & forever,” tulisnya.
Ucapan tersebut menggambarkan hubungan rapat seorang bapa dengan anak perempuannya, selain memperlihatkan kasih sayang Norman yang tidak berubah meskipun Marissa Dania semakin dewasa dan mula membina perjalanan hidupnya sendiri.
Untuk rekod, Norman pernah mendirikan rumah tangga dengan Abby Abadi pada 2002 sebelum mereka bercerai pada 2009. Hasil perkongsian hidup tersebut, mereka dikurniakan cahaya mata termasuk Mohamed Danish Hakim dan Marissa Dania Hakim.
Selepas perceraian, Norman bertemu jodoh kali kedua dengan usahawan dan pelakon Memey Suhaiza pada 2011 dan mereka kemudiannya membina kehidupan berkeluarga bersama.
Sumber : Instagram Norman hakim
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.