
Lovely Sabana Augustine, pelajar cemerlang STPM yang sebelum ini tular kerana berdepan kekangan kewangan untuk melanjutkan pengajian selepas kisahnya mendapat perhatian Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Menerusi sebuah video yang dikongsikan Pengerusi MARA, beliau memaklumkan telah mengambil tindakan bagi membantu Lovely selepas kisah pelajar berketurunan Kadazan-Siam dari Tumpat, Kelantan itu mendapat perhatian ramai.
Lebih membanggakan, Lovely memperoleh PNGK 4.00 dalam STPM meskipun membesar dalam keluarga yang serba sederhana.
Beliau kini menerima tawaran melanjutkan pengajian dalam program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Moral dengan Kepujian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan dijadualkan mendaftar pada 12 September 2026.
Di sebalik kejayaan akademik Lovely tersimpan kisah perjuangan sebuah keluarga yang cukup menyentuh hati.
Lovely merupakan anak bongsu daripada empat beradik. Bapanya, seorang bekas anggota tentera berketurunan Kadazan, meninggal dunia akibat angin ahmar pada 2017.
Sejak kehilangan suami, ibunya, Mek Kenui, yang berketurunan Siam dan beragama Buddha, menjadi tulang belakang keluarga.
Dengan pendapatan sekitar RM800 sebulan, Mek Kenui bekerja sebagai tukang cuci sekolah selain merupakan anggota RELA.
Setiap hari Jumaat, beliau turut mengambil kerja sambilan menjaga kawasan parkir di sebuah masjid ketika umat Islam menunaikan solat Jumaat bagi menambah pendapatan keluarga.
Tiga abang Lovely pula masing-masing bekerja sebagai jurujual pasar raya, pembantu kedai dan pekerja kampung.
Namun, keterbatasan hidup tidak pernah menjadi alasan buat Lovely untuk mengalah dalam pelajaran.
Sebaliknya, anak muda itu membuktikan bahawa kesusahan bukan penghalang untuk mencipta kecemerlangan apabila berjaya memperoleh keputusan sempurna 4.00 dalam STPM.
Selepas kisah Lovely tular, Pengerusi MARA mengambil inisiatif menghubungi Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff bagi mencari jalan membantu pelajar berkenaan.
Hasil perbincangan tersebut, pihak UPSI bersetuju memberikan pelepasan khas berkaitan yuran bagi meringankan beban Lovely untuk memulakan pengajian.
“Alhamdulillah pihak UPSI bersetuju memberikan pelepasan khas berkaitan yuran bagi membantu meringankan beban adik Lovely,” katanya menerusi perkongsian berkenaan.
Bantuan itu cukup bermakna memandangkan Lovely sebelum ini dilaporkan memerlukan RM2,232.35 bagi bayaran pendaftaran, selain perlu menyediakan komputer riba, kelengkapan pembelajaran dan keperluan diri sebelum melangkah masuk ke universiti.
Usaha MARA bantu Lovely sekali gus dapat mengurangkan sebahagian beban kewangan yang perlu ditanggung keluarganya ketika dia bersiap sedia memulakan kehidupan sebagai mahasiswa.
Tidak terhenti di situ, MARA melalui Yayasan Pelajaran MARA (YPM) turut akan menyalurkan RM1,000 sebagai wang persiapan kepada Lovely.
Pengerusi MARA turut menghulurkan sumbangan peribadi bagi membantu meringankan beban keluarga tersebut.
Bantuan berkenaan diharap dapat memberi ruang kepada Lovely untuk memberikan sepenuh perhatian kepada pengajian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan pada permulaan kehidupan sebagai mahasiswa.
Lovely menyimpan cita-cita untuk menjadi seorang pendidik, sekali gus menggunakan pendidikan sebagai jalan untuk mengubah masa depan dirinya dan keluarga.
Pengerusi MARA turut menitipkan harapan agar bantuan tersebut menjadi titik permulaan kepada perjalanan baharu Lovely.
“Semoga sedikit bantuan ini menjadi pembuka jalan untuk adik Lovely memulakan langkah sebagai mahasiswa dan mengejar cita-cita untuk menjadi seorang pendidik serta dalam merubah kehidupan keluarga apabila berjaya nanti.”
Sumber : Facebook Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.