
Baru-baru ini, skuad Sepak Takraw negara mencuri perhatian apabila berjaya muncul sebagai juara dan menundukkan cabaran sengit Thailand dengan kemenangan straight set di Stadium Titiwangsa pada Khamis, semalam.
Kekal mengetengahkan khidmat trio utama negara iaitu Syahir Rosdi (tekong), Farhan Adam (pengumpan) dan Azlan Alias (perejam) menunjukkan aksi mantap sepanjang perlawanan walaupun berdepan ranjau awal ketika menghadapi gandingan Sittipong Kamchan, Yodsawat Uthaijaronsri dan Varayut Jantarasena.
Perlawanan bermula dengan sengit apabila kedua-dua pasukan saling bertukar mata, menandakan persaingan yang cukup hebat.
Namun, servis daripada Syahir yang cemerlang berjaya memerangkap pemain lawan, Yodsawat Uthaijaronsri, sekaligus memberi momentum penting buat Malaysia untuk menutup set pertama dengan keputusan 15-12.
Dalam pada itu, pada set kedua, Malaysia terus menguasai permainan dengan mendahului 4-0 sekaligus memaksa Thailand menukar tekong mereka, tetapi usaha itu tidak berhasil. Malaysia terus memperlebar jurang mata sehingga 11-5 sebelum Azlan menyempurnakan kemenangan 15-9 dengan satu libasan lembut.
Menerusi kemenangan ini, Malaysia muncul juara berganda dalam Piala Asia edisi pertama selepas sebelum ini menjuarai acara kuadran. Walau bagaimanapun, skuad negara tidak mahu berasa terlalu selesa walaupun sudah meraih dua gelaran utama dalam kejohanan kali ini.
Sementara itu, tekong utama Malaysia, Mohammad Syahir Mohd Rosdi, mengakui masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki menjelang saingan regu berpasukan yang akan bermula tidak lama lagi.
“Alhamdulillah kami menang 2-0, namun masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki, khususnya servis dan bola pertama”
“Kami tak boleh terlalu puas hati kerana jam 9 pagi ini sudah mula aksi berpasukan, dan kami kena cepat perbaiki apa yang kurang,” katanya tegas.
Kemenangan di final acara regu ini mengulangi sejarah manis Malaysia yang juga pernah meraih gelaran sama pada Piala Dunia 2024 dengan trio yang sama. Namun, Syahir berpendapat cabaran kali ini lebih mencabar disebabkan momentum mereka agak perlahan berbanding tahun lalu.
Selain itu, ini adalah gelaran kedua buat skuad negara di Piala Asia 2025 selepas merangkul kejuaraan acara kuadran, manakala muncul naib juara acara double selepas tumpas kepada Thailand pada Isnin lalu.
Malaysia kini berada di landasan terbaik untuk memburu gelaran ketiga apabila akan membuka tirai acara regu berpasukan menentang Brunei pada pagi Jumaat, diikuti aksi menentang Jepun pada malam yang sama. Saingan penutup Kumpulan B pula bakal menyaksikan pertemuan dengan Korea Selatan pada petang Sabtu.
Sumber: Sinar Harian
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.