
Satu lagi pencapaian membanggakan berjaya dilakar oleh anak Malaysia di pentas antarabangsa!
Malaysia mencipta sejarah apabila buat pertama kalinya berjaya menempatkan diri dalam kelompok 20 negara terbaik dunia pada Olimpiad Matematik Antarabangsa ke-67 (IMO 2026) yang berlangsung di Shanghai, China, baru-baru ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pasukan negara berjaya menduduki tangga ke-19 keseluruhan daripada 117 negara yang mengambil bahagian, sekali gus mengatasi pencapaian yang direkodkan pada edisi tahun lalu.
Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau turut menzahirkan ucapan tahniah atas kejayaan bersejarah tersebut.
“Buat kali pertama Malaysia berjaya berada dalam kelompok 20 negara terbaik di dunia apabila mencatat kedudukan ke-19 keseluruhan daripada 117 negara yang bertanding.”
Menurut Fadhlina, pasukan Malaysia turut mempamerkan prestasi cemerlang apabila berjaya membawa pulang satu pingat emas, tiga pingat perak, satu pingat gangsa serta satu anugerah sebutan khas.
Pencapaian itu menyaksikan kontinjen negara mengumpul keseluruhan 142 mata, sekali gus melepasi rekod yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
Sementara itu, menerusi perkongsian di Facebook Olimpiad Matematik Malaysia, kejayaan bersejarah tersebut merupakan hasil usaha enam pelajar berbakat yang dipilih mewakili negara dalam pertandingan matematik paling berprestij di dunia itu.
Prestasi membanggakan ini sekali lagi membuktikan bahawa pelajar Malaysia memiliki potensi besar untuk bersaing di peringkat global, sekali gus mengharumkan nama negara menerusi kecemerlangan dalam bidang akademik.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.