
Malaysia Airlines sambung semula penerbangan ke Jeddah dan Madinah bermula hari ini, 4 Mac hingga Ahad (8 Mac), selepas sebelum ini digantung sejak 28 Februari lalu.
Syarikat penerbangan negara itu memaklumkan bahawa keputusan menyambung semula penerbangan pergi-balik ke Jeddah (JED) dan Madinah (MED) dibuat selepas menilai perkembangan situasi semasa di Asia Barat.
Sebelum ini, penggantungan sementara dilakukan susulan penutupan ruang udara di beberapa bahagian Asia Barat berikutan ketegangan yang berlaku di rantau berkenaan.
Namun begitu, penerbangan ke Doha (DOH) masih digantung sehingga 7 Mac kerana pihak syarikat masih menilai tahap keselamatan di kawasan tersebut.
Dalam masa sama, semua penerbangan lain termasuk ke London (LHR) dan Paris (CDG) terus beroperasi seperti biasa, namun menggunakan laluan alternatif yang lebih jauh bagi mengelakkan zon konflik.
Bagi hari ini, penerbangan MH156 dari Kuala Lumpur ke Jeddah dijadual berlepas pada 9 pagi dan dijangka tiba pada 1.40 tengah hari waktu tempatan.
Sementara itu, penerbangan pulang MH157 (Jeddah–Kuala Lumpur) akan berlepas pada 3.10 petang dan dijangka tiba di Kuala Lumpur pada 5.10 pagi.
Penerbangan seterusnya akan melibatkan MH156 (Kuala Lumpur–Jeddah) pada Rabu jam 7 malam, manakala perjalanan pulang MH157 (Jeddah–Kuala Lumpur) dijadual pada Khamis jam 1.10 pagi.
Selain itu, penerbangan MH150 dari Kuala Lumpur ke Jeddah pada 8 Mac dijadual berlepas pada 1 petang, manakala penerbangan pulang MH151 (Jeddah–Kuala Lumpur) akan berlepas pada 7.10 malam.
Untuk laluan Kuala Lumpur–Madinah, Malaysia Airlines akan mengendalikan penerbangan MH158 yang berlepas pada 3.35 petang, sebelum kembali ke Kuala Lumpur menerusi penerbangan MH159 pada 9.30 malam.
Pada hari Jumaat pula, penerbangan MH152 bagi laluan Kuala Lumpur–Madinah dijadual berlepas pada 10.15 pagi, manakala penerbangan pulang MH153 akan berlepas pada 4.05 petang dan tiba di Kuala Lumpur sekitar 6 pagi.
Malaysia Airlines memaklumkan bahawa operasi penerbangan selepas 8 Mac masih tertakluk kepada semakan lanjut, bergantung kepada perkembangan situasi semasa di Asia Barat.
Penumpang yang terjejas juga sedang dimaklumkan dan akan dibantu dengan pengaturan perjalanan alternatif sekiranya diperlukan.
Pada masa sama, syarikat itu menegaskan bahawa keselamatan dan kesejahteraan penumpang serta anak kapal kekal menjadi keutamaan.
Antara langkah yang diambil termasuk penggunaan laluan alternatif, koordinasi rapat dengan pihak berkuasa penerbangan antarabangsa serta penambahbaikan prosedur keselamatan.
Penumpang dinasihatkan untuk mengemas kini maklumat hubungan melalui fungsi “My Booking”, menggunakan perkhidmatan Live Chat di laman web Malaysia Airlines atau menghubungi Pusat Perhubungan Global di talian 1 300 88 3000 (dalam Malaysia) atau +603 7843 3000 (luar negara) bagi mendapatkan maklumat terkini.
Malaysia Airlines turut memaklumkan bahawa pihaknya akan terus memantau perkembangan semasa bagi memastikan operasi penerbangan berjalan dengan selamat dan lancar.
Sumber : Berita Harian
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.