
Kata bilangan didefinisikan sebagai kata yang menyatakan banyaknya benda. Kata bilangan ada enam jenis; iaitu kata bilangan tentu, kata bilangan tidak tentu, kata bilangan himpunan, kata bilangan pecahan, kata bilangan pisahan, dan kata bilangan tingkat.
Kata bilangan tidak tentu terdiri daripada beberapa, banyak dan segala. Perbincangan pada kali ini hanya memfokuskan kata bilangan tidak tentu beberapa.
(a) Kata bilangan tidak tentu beberapa perlu diikuti oleh penjodoh bilangan apabila diikuti kata nama konkrit.
Contoh ayat:
(i) Beberapa pelajar atau beberapa orang pelajar?
Jawapan yang betul ialah beberapa orang pelajar. Seperti yang kita ketahui bahawa beberapa perlu diikuti oleh penjodoh bilangan (orang) untuk pelajar. Beberapa di sini membawa maksud sama ada dua, tiga atau lebih yang juga merujuk tidak tentu bilangannya.
(ii) Beberapa lembu atau beberapa ekor lembu?
Jawapannya tentulah beberapa ekor lembu. Beberapa diikuti oleh penjodoh bilangan (ekor) untuk haiwan yang tidak tentu bilangannya, sama ada dua atau lebih daripada sepuluh.
(b) Kata bilangan tidak tentu beberapa tidak diikuti oleh penjodoh bilangan apabila diikuti oleh kata nama abstrak.
Contoh ayat:
(i) Beberapa buah cadangan atau beberapa cadangan?
Jawapannya ialah beberapa cadangan. Cadangan itu ialah kata nama abstrak. Abstrak ialah kata nama tidak hidup seperti senyuman, pendapat, ganjaran dan lain-lain yang hanya dapat dibayangkan atau dikhayalkan. Justeru, kata bilangan tidak tentu beberapa tidak perlu diikuti oleh penjodoh bilangan sebaliknya memadai dengan kata nama abstrak sahaja.
(ii) Beberapa buah perkara atau beberapa perkara?
Sama jawapan di atas iaitu beberapa perkara sahaja. Beberapa perkara menunjukkan tidak tentu bilangan perkara yang hendak dibincangkan, sama ada dua perkara sahaja atau lebih daripada dua.
Diharapkan penjelasan tentang kata bilangan tidak tentu beberapa ini dapat dibezakan bagi menggelakkan kekeliruan penggunaannya dalam ayat.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa Dan Pustaka. Artikel ini ditulis oleh FARIDAH BINTI MOHAMAD SAAD
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
*Cemburunya!* Pilot Ini Kongsi Caranya Dipilih Bekerja Dengan Emirates, Banyak Betul Kelebihan Diterimanya

Biarpun kehidupan ramai juruterbang telah terjejas apabila negara diancam musim pandemik sepanjang dua tahun lepas, masih ramai remaja yang mengekalkan cita-cita mereka sebagai juruterbang dan ingin melanjutkan pengajian ke akademi penerbangan satu hari nanti.
Begitupun, tidak kurang juga yang selalu berteka-teki mengenai cara terbaik untuk mereka menyertai industri penerbangan ini. Di manakah akademi terbaik bagi pengajian tertiari mereka, syarikat manakah yang harus mereka idamkan sebaik sahaja bergelar graduan dan pelbagai lagi pertanyaan yang berlegar di minda bakal juruterbang ini.
Peluang yang diperolehi REMAJA untuk bertanyakan mengenai pengalaman membina kerjaya daripada seorang juruterbang berjaya baru-baru ini tidak kami lepaskan. Jom selami serba sedikit bagaimana juruterbang Emirates kelahiran Kuala Lumpur, Tien Rern memulakan langkah dalam bidang ini sebagai inspirasi untuk korang semua.

Bagaimanakah impian menjadi juruterbang ini bermula? Siapakah yang memberikan inspirasi kepada anda?
Tien Rern (TR): Impian ini bermula sejak ibu saya membelikan buku dan ensiklopedia yang mempunyai maklumat serta gambar berkenaan kapal terbang. Saya menganggap diri ini amat bertuah kerana berpeluang melancong bersama keluarga sejak usia kecil lagi.
Dalam suatu penerbangan ke luar negara, keluarga saya berjaya menyampaikan hasrat saya untuk menjadi seorang juruterbang kepada kapten pesawat itu dan saya dijemput untuk melawat dek penerbangan itu (lawatan ke dek penerbangan adalah dibenarkan sebelum tahun 2001).
Secara kebetulan, penerbangan pulang ke tanah air juga dipandu oleh juruterbang yang sama. Oleh itu, sekali lagi saya diberi peluang melawat ke dek penerbangan. Sejak itu, saya bertekad untuk merealisasikan impian saya untuk menjadi seorang juruterbang.
Bagaimanakah pengalaman anda menyertai Akademi Penerbangan dan seterusnya memulakan latihan di syarikat penerbangan terkemuka, Emirates?
(TR): Saya menyertai akademi penerbangan di Pulau Langkawi dan pengalaman tersebut amat istimewa buat diri saya. Saya baru berusia 17 tahun dan mencapai umur minima untuk memulakan latihan menjadi seorang juruterbang. Saya mula memandu kapal terbang sebelum memperolehi lesen memandu kereta lagi!
Selepas tamat latihan di akademi penerbangan, saya dihantar terus untuk menyambung latihan sebagai juruterbang kapal terbang Boeing 737. Semasa di akademi penerbangan, kami diajar teori penerbangan asas di dalam kapal terbang kecil tetapi pengalaman untuk menerbangkan sebuah kapal terbang jet Boeing 737 adalah amat berlainan dan sukar sekali.
Nasib baik pada masa itu terdapat ramai juruterbang pelatih dan rakan-rakan senior yang sudi berkongsi pengetahuan serta pengalaman. Segala latihan saya perolehi pada masa itu telah menjadi asas kerjaya penerbangan komersial saya.
Semasa memulakan latihan penerbangan bersama Emirates, saya sudahpun mempunyai pengalaman memandu kapal terbang Boeing 777 dan agak fasih dengan bahagian teknikal serta pengendalian kapal terbang itu. Oleh demikian, saya mengambil peluang memberikan lebih perhatian untuk belajar berkenaan dengan prosedur dan operasi serta destinasi pihak penerbangan Emirates yang amat luas sekali.

Pada pendapat anda, bagaimanakah pandemik COVID-19 memberi kesan kepada juruterbang seperti anda. Dan bagaimanakah diri anda kini pada era endemik?
(TR): Pada tahun 2020, wabak Covid-19 hampir menutup kesemua perjalanan udara. Meskipun pihak Emirates antara yang terpantas dalam memulakan semula operasi penerbangan, aktiviti penerbangan pada zaman wabak Covid-19 memang penuh dengan sekatan.
Banyak sempadan negara telah ditutup dan ini bermakna kami tidak dapat singgah untuk berehat setelah tiba di destinasi. Kami terpaksa menerbangkan juruterbang tambahan untuk penerbangan pulang. Untuk memastikan kami tidak terdedah kepada wabak itu, kami terpaksa pula menjalani ujian PCR selepas setiap penerbangan selain perlu mengikuti tempoh kuarantin ketat selepas setiap penerbangan untuk memastikan kami tidak membawa pulang wabak kepada keluarga ataupun komuniti.
Syukurlah sekarang keadaan sudah beransur pulih seperti sedia kala. Kapal terbang juga semakin penuh dengan penumpang dan kami dibenarkan semula untuk singgah sambil berehat di destinasi.
Majoriti pembaca REMAJA ingin mendengar antara kelebihan yang diterima juruterbang di syarikat Emirates, hehe! Boleh kongsikan lebih mengenainya?
(TR): Untuk mana-mana juruterbang yang berhasrat untuk memandu kapal terbang ‘widebody’ ke pelbagai destinasi baru, anda perlulah menyertai Emirates Airlines.
Sebagai seorang juruterbang Emirates, anda akan berpusat di Dubai dan diberi pilihan untuk tinggal di vila atau rumah yang disediakan oleh pihak syarikat; ataupun membeli sebuah kediaman di UAE dengan mengunakan elaun perumahan yang disediakan. Elaun pendidikan juga diberikan kepada keluarga yang mempunyai kanak-kanak yang masih berada di sekolah.
Jika anda gemar untuk melancong seperti saya, Emirates mempunyai sistem tiket kakitangan yang cekap dimana pembelian tiket untuk terbang ke mana-mana destinasi Emirates dapat diperolehi dengan mudah.
Kami juga diberi satu tiket percuma pada setiap tahun untuk pulang ke tanah air dan juga peluang membeli tiket-tiket diskaun bagi pihak keluarga serta kawan-kawan sekiranya pesawat itu masih mempunyai tempat kosong.

Wow best-nya! Sekiranya anda mempunyai satu nasihat kepada remaja yang ingin berlatih menjadi seorang juruterbang, apakah ia?
(TR): Ikut sahaja impian anda dan jangan berputus asa.
Pada permulaan, anda pasti akan menikmati pengalaman terbang dengan bebas di ruang udara. Meskipun ia akan mengambil sedikit masa untuk memperolehi waktu penerbangan serta pengalaman mencukupi untuk menyertai syarikat penerbangan komersial tetapi ingatlah, suatu hari nanti anda akan melihat keluar dari tingkap dek penerbangan pada aras ketinggian 37000 kaki dan mengingati detik-detik perjalanan yang amat menarik untuk menjadi seorang juruterbang.
ARTIKEL BERKAITAN : Cantik, Bijak Dan Berani. Pakej Lengkap Milik Juruterbang Wanita Malaysia, Khaysha Faizal – REMAJA
BACA LAGI : Berdiri Di Puncak Burj Khalifa, ‘Pramugari’ Emirates Ini Curi Perhatian Warganet – REMAJA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Arif Aiman Angkat Martabat Bola Sepak Negara, Tercalon Pemain Terbaik AFC

Terbaru, pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Mohd Hanapi mencipta sejarah apabila menjadi pemain bola sepak Malaysia pertama yang tercalon dalam senarai tiga calon utama bagi Pemain Terbaik Tahunan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Apa yang lebih menarik, pengumuman itu sekaligus meletakkan nama Arif Aiman sebaris dengan dua bintang ternama bola sepak Asia, iaitu pemenang Kasut Emas Piala Asia 2023, Akram Afif dari Qatar dan penyerang Al-Hilal, Salem Al-Dawsari dari Arab Saudi.
Menurut kenyataan rasmi AFC, calon akhir bagi anugerah berprestij itu dipilih berdasarkan pencapaian cemerlang sepanjang musim, termasuk prestasi di peringkat kelab dan antarabangsa.
BACA: “Tolong Jaga Etika & Adab…” Johan Jojo Ghazali Tegur Trend Pempengaruh & Selebriti Naik Ring


Pemain berusia 23 tahun itu, sebelum ini memainkan peranan penting dalam membantu JDT meraih treble dengan menjuarai Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia. Selain itu, menerusi aksi konsisten beliau juga menjadikan dirinya sebagai tonggak utama skuad Harimau Selatan.
Selain itu, sumbangan lima gol yang dihasilkan pada saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) pada musim lalu turut membantu JDT mara ke pusingan 16 terbaik kejohanan berprestij tersebut.
BACA: “Malaysia Ada Atlet Berbakat Dan Jaguh Muay Thai” Jojo Dipelawa Khabib Untuk Berlatih Di Dagestan

Pencalonan ini bukan sahaja mengangkat reputasi peribadi Arif Aiman, malah menjadi kebanggaan buat seluruh peminat bola sepak tanah air yang sekian lama menantikan kelibat pemain Malaysia mendapat pengiktirafan di pentas Asia.
Sekadar info, pemenang bagi kategori Pemain Terbaik Tahunan AFC 2025 dijadual diumumkan pada 16 Oktober ini sempena Anugerah Tahunan AFC yang akan berlangsung di Riyadh, Arab Saudi.
BACA: Malaysia Lakar Kemenangan Bergaya, Benam Bangladesh 7-1 Di Piala Asia Futsal 2026
Sumber: BERNAMA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Pernah Jadi Juruwang & Jurutol, Lelaki Ini Genggam PhD Pada Usia 30 Tahun

Keadaan hidup mengajar seseorang untuk menjadi lebih berjaya dan gigih mencapai cita-cita tanpa kenal erti lelah. Tiada apa yang mustahil jika ketekunan dan usaha mengiringi setiap langkah. Inilah yang sesuai penulis gambarkan mengenai kejayaan Dr. Mohamad Hafifi Jamri yang berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Sains Malaysia (USM) pada usia 30 tahun.
Bukanlah pelajar ‘straight A’ dari peringkat awal pendidikan, beliau hanya memperoleh 4A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Walau bagaimanapun, beliau sentiasa berusaha untuk memajukan diri dari semasa ke semasa menerusi penglibatannya dalam aktiviti akademik dan kokurikulum seperti program kepimpinan dan peningkatan diri ketika di bangku persekolahan dan universiti.
ARTIKEL BERKAITAN: Graduan Jurusan Zoologi & Bekas Pelajar Sekolah Tun Fatimah, Ayu Nazirah Cemerlang Pelajaran
Sebagai anak tunggal, Dr. Mohamad Hafifi menjadikan misi untuk membantu kedua orang tuanya sebagai satu gol di dalam kehidupan. Bukan berasal dari keluarga yang senang, ibunya bekerja sebagai operator pengeluaran kilang manakala ayahnya pula hanyalah pemandu bas henti-henti.
Tekad untuk menyambung pelajaran secara terus menerus, lelaki yang baru melangsungkan perkahwinan ini memasuki USM pada tahun 2011 sebagai pelajar Ijazah Sarjana Muda dan kemudiannya meneruskan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana sehinggalah berjaya menamatkan pengajian Ijazah Doktor Falsafah pada 2021.
Kini bertugas sebagai Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi Dan Pengajian Media di Universiti Teknologi MARA Cawangan Alor Gajah, Dr. Mohamad Hafifi menjadikan perjalanannya sebagai satu pembelajaran hidup penuh berharga. Sepanjang pengajian dia bukan hanya belajar tetapi turut melakukan kerja-kerja sampingan bagi mendapat duit poket untuk menampung kehidupan.
Ujarnya, “Saya pernah menjadi Juruwang di Esso, Jurutol Sambilan di Plaza Tol Sungai Dua Pulau Pinang serta beberapa pekerjaan secara separuh masa dalam universiti misalnya Pembantu Penyelidik Siswazah dan Eksekutif Acara. Malah, sebelum diterima bekerja di UiTM, saya turut pernah bekerja sebagai Assistant Person in-Charge di kedai dua ringgit, pembanci serta proofreaders.”

Pengalaman sememangnya menjadi guru terbaik namun dalam kehidupan langit tidak semestinya cerah sampai ke petang. Segala onak dan duri harus ditempuhi demi sebuah kemanisan.
Sepanjang 10 tahun pengajian, terdapat peristiwa-peristiwa meruntun hati jejaka ini. Kongsinya, “Dalam tempoh pengajian di USM, saya diuji dengan keadaan yang amat berat iaitu kematian nenek tersayang saya pada tahun 2013. Ketika saya baru memasuki tahun akhir pengajian Sarjana Muda. Pada waktu itu, saya merasakan bahawa satu kunci doa saya telah hilang.
“Semasa menjalani pengajian PhD pula, saya diuji dengan kesakitan bapa saya yang mana dia disahkan dijangkiti pneumonia pada 13 Mac 2019. Dari tempoh tersebut sehingga 13 Mei 2019 iaitu genap dua bulan, saya dan ibu berulang alik ke hospital iaitu bermula dari Hospital Bukit Mertajam ke Hospital Seberang Jaya dan kemudiannya ke Hospital Pulau Pinang.
“Tempoh tersebut adalah tempoh yang amat sukar bagi diri saya. Saya boleh katakan bahawa keluarga lebih penting daripada segala-galanya dan saya ketepikan pengajian dahulu untuk sementara. Syukurlah, ketiga-tiga penyelia saya amat memahami. Selepas bapa saya kembali pulih, barulah saya berusaha mendapatkan semula momentum pengajian yang tertunda.”
ARTIKEL BERKAITAN: #GirlPower: Pelajar Malaysia Cemerlang, Tercalon Dalam Sigma Xi Untuk Duduk Sebaris Dengan Albert Einstein
Mengakhiri temubual kami, Dr. Mohamad Hafifi mengakui yang tempoh masa 10 tahun di USM ternyata memberikan pelbagai pengalaman kepada beliau berkenaan kesukaran dalam keseronokan menjadi seorang pelajar pra-siswazah dan pasca-siswazah. Walau bagaimanapun, perkara yang lebih penting adalah pengalaman yang diraih dalam tempoh menjadi pelajar, baik di peringkat universiti, latihan industri serta melalui pengalaman yang dikongsikan oleh para pensyarah, penyelia, penyelidik serta pakar-pakar bidang yang ditemui.
Beliau berpandangan bahawa tidak rugi untuk merendahkan diri dalam mencari ilmu serta kembali semula memberikan sumbangan ilmu melalui aktiviti perkongsian dengan rakan-rakan serta anggota masyarakat. Bak kata pepatah, ibarat resmi padi semakin semakin berisi semakin tunduk.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!

