Berita

Logo, Maskot ‘Tuah’ & Tema ‘Raikan Perpaduan’ Diperkenalkan, Simbol Semangat Malaysia Sebagai Tuan Rumah Sukan SEA 2027

Share

Malaysia kini secara rasmi memperkenalkan identiti yang bakal mewarnai penganjuran Sukan SEA Ke-34 dan Sukan Para ASEAN Ke-14 pada tahun 2027 menerusi pelancaran logo, maskot serta tema rasmi temasya sukan terbesar Asia Tenggara itu.

Pelancaran berkenaan disempurnakan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebagai simbol persediaan negara untuk menyambut ribuan atlet dan kontinjen dari seluruh rantau ASEAN pada temasya yang bakal berlangsung tahun depan.

Maskot ‘Tuah’ Jadi Lambang Semangat Generasi Baharu

Menurut laporan media tempatan, Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohamed Taufiq Johari berkata, maskot rasmi yang dikenali sebagai

Tuah dipilih bagi mencerminkan semangat kebersamaan serta aspirasi Malaysia dalam menyatukan negara-negara ASEAN menerusi platform sukan.

Jelas beliau, maskot tersebut diinspirasikan daripada imej seorang wira moden yang dinamik, yakin serta mudah didekati. Pada masa sama, ia turut menggambarkan generasi baharu Malaysia yang berani menghadapi cabaran, berfikiran positif dan berdaya saing.

“Nama Tuah dipilih kerana membawa makna kejayaan, kecemerlangan dan keberuntungan yang dicapai melalui usaha, disiplin, ketekunan, kesetiaan serta perpaduan,” katanya.

‘Raikan Perpaduan’ Jadi Tema Rasmi

Dalam majlis sama, tema rasmi “Raikan Perpaduan” (Celebrating Unity) turut diumumkan sebagai tunjang identiti Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027.

Menurut KBS, tema tersebut dipilih kerana perpaduan merupakan kekuatan sebenar Malaysia dan negara-negara ASEAN, selain mencerminkan semangat kebersamaan yang menjadi asas kepada penganjuran temasya berprestij itu.

Mengulas lanjut, Mohamed Taufiq berkata, tema yang diperkenalkan bukan sekadar menjadi identiti rasmi temasya, malah membawa mesej yang lebih besar kepada semua atlet yang bakal bertanding.

“Tema kali ini akan menjadi cerminan semangat perpaduan yang berdaya tahan dan memiliki kesinambungan masa depan sukan rantau ini.

“Ia juga akan menjadi pencetus semangat kepada semua atlet untuk melangkaui had kemampuan mereka dalam mencapai kejayaan,” jelasnya.

Logo Simbol Kepelbagaian & Aspirasi Malaysia

Selain maskot dan tema, logo rasmi Sukan SEA serta Sukan Para ASEAN 2027 turut diperkenalkan dengan menampilkan elemen yang melambangkan aspirasi Malaysia dalam menyatukan rantau Asia Tenggara menerusi semangat kesukanan.

Menurut Mohamed Taufiq, rekaan logo itu menggambarkan dinamisme, kepelbagaian budaya dan keharmonian masyarakat Asia Tenggara yang digabungkan dengan identiti Malaysia sebagai sebuah negara progresif.

Dalam masa sama, beliau berkata maskot Tuah bukan sekadar identiti visual, sebaliknya menjadi simbol keberanian, semangat kesukanan, inovasi serta aspirasi Malaysia sebagai negara yang berteraskan teknologi.

Malaysia Bakal Jadi Tuan Rumah Pada 2027

Untuk rekod, Malaysia dijadualkan menjadi tuan rumah Sukan SEA Ke-34 yang akan berlangsung pada 18 hingga 29 September 2027, manakala Sukan Para ASEAN Ke-14 pula bakal diadakan dari 17 hingga 23 Oktober 2027.

Penganjuran kali ini dijangka menjadi platform terbaik untuk mengeratkan hubungan negara-negara ASEAN, selain mempamerkan kemampuan Malaysia sebagai tuan rumah bertaraf antarabangsa.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath