
Bintang K-Pop terkenal, Lisa BLACKPINK baru-baru ini mencuri perhatian peminat para gamers apabila beliau diumumkan bakal menjadi ikon utama untuk ‘Fortnite Festival’ Musim 12. Pengumuman ini sekaligus menandakan kemunculan rasmi penyanyi, penari dan pelakon tersebut dalam siri acara muzik popular dalam permainan Fortnite.
Menurut Epic Games dalam satu kenyataan, musim terbaru kali ini bakal memperkenalkan “Starlux Music Pass” yang akan dilancarkan pada 29 November. Apa yang lebih menarik, Lisa atau pemilik nama sebenar Lalisa Manobal (28) juga tampil sebagai persembahan utama, menjadikan peminat dapat menikmati kehadirannya secara lebih interaktif dalam permainan tersebut.
Selain itu, pelancaran Musim 12 ini juga menawarkan beberapa penampilan Lisa dengan gaya baju yang dipamerkan dalam beberapa trek popular beliau seperti ‘Rockstar’, ‘FXCK UP THE WORLD (Vixi Solo Version)’ dan ‘New Woman’ di Fortnite Shop. Difahamkan, kesemua item ini diinspirasikan daripada gaya serta muzik daripada album debut Lisa berjudul ‘Alter Ego’.
Dalam pada itu, Lisa dalam satu kenyataan rasmi meluahkan keterujaannya apabila melihat bagaimana Fortnite menghidupkan karakter-karakter dirinya dalam bentuk digital.
“Saya suka melihat bagaimana Fortnite menghidupkan alter ego saya dalam permainan dengan begitu sempurna,” katanya.
“Menjadi persembahan utama untuk Starlux Music Pass adalah peluang menarik untuk peminat saya terus merasai lagu-lagu kegemaran serta outfit daripada album debut saya ‘Alter Ego,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, ikon ‘Fortnite Festival’ sebelum ini ialah kumpulan animasi popular Gorillaz yang mengetuai acara musim 10 pada Ogos lalu. Bagi musim 11 pula, dengan judul ‘Mixtape’, Epic Games tidak menampilkan ikon individu dan bertindak sebagai sebuah selebrasi muzik original Fortnite.
Sekadar info, siri ‘Fortnite Festival’ sebelum ini pernah menampilkan barisan nama besar seperti Bruno Mars (Musim 9), Sabrina Carpenter (Musim 8), Hatsune Miku (Musim 7), Snoop Dogg (Musim 6), Karol G (Musim 5), Metallica (Musim 4), Billie Eilish (Musim 3), Lady Gaga (Musim 2) dan The Weeknd (Musim 1). Senarai figura bintang ternama ini membuktikan pengaruh besar acara itu dalam menggabungkan dunia gaming dan hiburan global.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.