Lisa BLACKPINK Hulur Sumbangan Hasil Jualan ‘Preloved’ Untuk Projek Air & Sanitasi Kanak-Kanak Di Afrika

Share

Baru-baru ini, bintang terkenal K-Pop, Lisa BLACKPINK mencuri perhatian ramai apabila menunjukkan sisi prihatin beliau dengan menyumbangkan hasil kutipan daripada pasar lambak yang diadakan beberapa bulan lalu kepada pertubuhan Good Neighbors iaitu sebuah NGO global yang memperjuangkan hak kanak-kanak.

Pengumuman tersebut dikongsikan menerusi satu kenyataan oleh Sony Music Korea pada 18 Ogos lalu, dan difahamkan dana tersebut diperoleh Lisa atau nama sebenarnya Lalisa Manobal (28) melalui ‘Welcome to Lisa’s Closet’ yang menjual koleksi peribadi beliau termasuk pakaian, aksesori dan juga produk kecantikan yang pernah digunakannya.

Menurut pelantun lagu ‘Moonlit Floor (Kiss Me)’ itu, beliau meluahkan rasa terharunya apabila usaha kecilnya itu mampu membawa perubahan besar. 

“Terima kasih kepada mereka yang telah bergabung dengan kami dalam berbagi, ini adalah waktu yang berharga untuk dapat memberikan harapan bagi masa depan seseorang,” katanya.

“Saya akan terus mengambil bahagian agar dapat memberikan perubahan positif kepada anak-anak yang memerlukan,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, acara jualan pasar lambak ini bukan sahaja menarik perhatian kerana peluang peminat untuk berjumpa secara lebih dekat dengan idola mereka, ia juga sekaligus memberi pulangan yang positif disebalik niat murni penganjurannya dimana Lisa sejak awal sudah menjelaskan bahawa semua hasil jualan akan didermakan untuk tujuan kebajikan.

Difahamkan, hasil kutipan tersebut disalurkan kepada projek air bersih dan sanitasi oleh Good Neighbors di Niger, Afrika. Antara inisiatif yang akan dijalankan termasuk pemasangan sistem tenaga suria, tangki air dan air pancut minuman. Projek ini dijangka bakal memberi manfaat kepada kira-kira 6,800 penduduk termasuk kanak-kanak di wilayah Kollo, Niger.

Sementara itu, misi ini dilihat amat penting kerana isu akses kepada air bersih masih menjadi cabaran utama bagi banyak komuniti di Afrika. Melalui bantuan ini, penduduk tempatan akan menikmati kehidupan yang lebih sihat dan selamat.

Sumbangan Lisa ini sekali lagi membuktikan bahawa idola K-Pop bukan sahaja mampu memberi pengaruh dalam bidang hiburan, tetapi juga menjadi suara perubahan yang memberi impak positif kepada masyarakat dunia.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE