
Keadaan sebuah universiti swasta yang terlibat dalam kejadian letupan gas isnin lalu.
Seorang pelajar universiti swasta di Kuala Lumpur berusia 24 tahun maut dalam insiden letupan gas penyaman udara di HELP University yang terletak di Bukit Damansara, Isnin lalu.
Seorang lagi pelajar tahun pertama jurusan undang-undang berusia 19 tahun dilaporkan berada dalam keadaan koma, manakala sembilan mangsa lain mengalami kecederaan pelbagai tahap.
Dalam kejadian itu, mendiang Soo Yu Juan merupakan pelajar tahun ketiga Kejuruteraan Mekanikal yang bakal menamatkan latihan industri dalam masa terdekat disahkan meninggal dunia.
Manakala pelajar koma yang dikenali sebagai Reeya Kaur Thandal mengalami kecederaan serius termasuk pendarahan dalam otak dan retak pada tengkorak kepala akibat letupan gas tersebut. Mangsa masih belum sedarkan diri dan sedang menerima rawatan rapi di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus memaklumkan, lain-lain mangsa turut mengalami kecederaan serius dan masih menerima rawatan di hospital. Mereka terdiri daripada tiga orang pelajar, dua pembantu kafeteria, seorang anggota pengurusan universiti dan seorang lagi kontraktor penyelenggaraan.
Seorang penyelia kontraktor berusia 54 tahun mengalami kecederaan parah termasuk serpihan besi yang tertanam di dalam badan. Beliau kini berada dalam keadaan separuh sedar dan sedang menunggu untuk menjalani pembedahan di HKL.
Laporan media sebelum ini memaklumkan kejadian letupan gas yang berlaku sekitar jam 11.40 pagi itu berpunca daripada sistem penghawa dingin di kawasan penyelenggaraan sebuah universiti swasta.
Tragedi ini mencetuskan kebimbangan orang ramai mengenai tahap keselamatan di kampus khususnya melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan serta penggunaan sistem gas.
Pelajar dan ibu bapa berharap siasatan menyeluruh dapat dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian letupan gas ini serta memastikan langkah pencegahan lebih ketat dilaksanakan.
Langkah keselamatan yang lebih komprehensif dilihat penting bagi mengelakkan insiden seumpama ini daripada berulang dan memastikan keselamatan warga kampus sentiasa terjamin.
Sumber : Kosmo