Berita

Letupan di HELP University: PMX Doa Kesembuhan Pelajar Koma, Arah Siasatan Segera

Share

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendoakan kesembuhan pelajar tahun pertama jurusan undang-undang, Reeya Kaur Thandal yang cedera parah susulan insiden letupan gas pendingin hawa di HELP Universiti pada 12 Januari lalu.

BACA: Letupan Gas Di Universiti Swasta: Seorang Penuntut Maut, Seorang Lagi Koma

Menerusi ciapan di media sosial X hari ini, Anwar berharap agar siasatan dilakukan agar aspek keselamatan semua pihak terjamin pada masa akan datang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Siasatan segera dan menyeluruh perlu dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dalam memastikan aspek keselamatan semua pihak terjamin.”

Beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Soo Yu Juan, pelajar tahun ketiga jurusan Kejuruteraan Mekanikal daripada Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) yang meninggal dunia akibat kejadian berkenaan.

Soo Yu Juan, 24 sedang menjalani latihan bersama sebuah syarikat penyelenggaraan penyaman udara dan berada di HELP University untuk tugasan rutin.

“Takziah kepada keluarga mendiang Soo Yu Juan atas pemergian anak tersayan dalam insiden tersebut, moga diberi ketabahan dan kekuatan, juga semua yang terkesan dengan tragedi ini,” catat Anwar.

Letupan Mengejutkan Seluruh Keluarganya

Reeya, 19 mengalami keretakan tengkorak dan pendarahan dalam otak susulan letupan di HELP University.

Difahamkan, pelajar berkenaan sedang menjalani prosedur bagi menentukan sama ada pembedahan diperlukan selepas dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dalam keadaan tidak sedarkan diri (koma).

Memetik kenyataan bapanya, Ravin Singh kepada media, beliau menyifatkan pengalaman ini umpama berada dalam mimpi ngeri dan berharap dapat terjaga lalu mendapati semua ini tidak benar. Ravin turut berkata dia menerima berita ini oleh salah seorang rakan Reeya.

Berada Di Lokasi Salah, Waktu Salah

Reeya yang merupakan anak sulung daripada dua beradik disifatkan Ravin sebagai seorang remaja yang kuat, bijak dan sentiasa bersemangat. Tambah menyedihkan lagi, buat julung kalinya Reeya telah memuat naik gambar bersamanya dan isteri beberapa hari sebelum kejadian itu.

FOTO: Facebook Reeya Thandal.

“Dia berada di tempat yang salah pada waktu yang salah. Ia boleh berlaku kepada sesiapa saja. Perkara terbaik yang boleh dilakukan adalah mendoakan anak saya supaya pulih dan memastikan kejadian seperti itu tidak lagi berulang,” ujarnya.

Keadaan Mangsa Lain

Akibat letupan yang berlaku ke atas sebuah pemampat pendingin hawa sewaktu kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan, mangsa lain terdiri daripada tiga pelajar, dua pembantu kafeteria dan seorang anggota pengurusan universiti dipercayai sudah dibenarkan keluar dari hospital.

Manakala Reeya dan seorang lagi kontraktor penyelenggaran penyaman udara masih menerima rawatan di wad.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ