Lepas Tecoma, Lalang Berbunga Pula Jadi Fenomena Di Kuala Ketil, Kedah

Share

Ala-ala di luar negara.

Nampaknya sekali lagi Kedah menjadi tumpuan ramai apabila viral di media social fenomena cantik bergambar di dalam bunga Lalang yang begitu memutih.

Belum pun bunga tecoma menjadi tumpuan, termasuk fenomena jerami gulung dan rumput karpet yang tular sebelum ini, nampaknya padang dipenuhi bunga lalang menjadi tumpuan ramai instagrammer untuk memenuhkan ruang koleksi peribadi masing-masing.

Memetik laporan Sinar Harian, padang yang dipenuhi bunga lalang seluas lebih satu hektar berhampiran Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Pekan Kuala Ketil itu, dipenuhi bunga lalang berwarna putih kekuningan sekali gus menjadi tarikan pengunjung.

Rasa-rasa macam duduk di luar negarakan bila lihat view ini

Wow, memang cantikkan viewnya!

Penduduk Kuala Ketil, Nurul Sofia Rejab,18, berkata, dia tidak menyangka kawasan yang dahulunya belukar kini begitu cantik.

Menurutnya, keindahan kawasan itu hanya disedari selepas melihat gambar yang tular di media sosial.

“Kami datang ke sini bila tengok tempat cantik seperti ini viral di Facebook, tak pernah di Kuala Ketil ada kawasan seperti ini.

“Kawasan ini tanah orang, tetapi terbiar dan terbakar pada Februari. Selepas kejadian, lalang tumbuh meliar dan baru-baru ini ia mengeluarkan bunga,” katanya.

Nurul Sofia dan Alia mengunjungi lokasi ini selepas viral di media social

Alia Aliana Rosli, 18, dari pekan Kuala Ketil berkata, gambar bunga lalang yang tular di media sosial membuatkan dia teruja untuk datang berswafoto di situ.

“Bunga lalang seperti ini pun ada tumbuh di tempat lain, tetapi apabila ia tumbuh dengan banyak menjadi kawasan ini sangat cantik,” katanya.

Padang ditumbuhi bunga lalang berbunga kekuningan ini menjadi kegilaan orang bergambar di Kuala Ketil

Manakala, penduduk, Rahman Hashim, 48, berkata, kawasan tersebut menjadi tumpuan sejak beberapa hari lalu pada setiap petang.

Rahman akui kawasan ini jadi tumpuan ramai sejak beberapa hari lalu

“Sekitar jam 6 ke atas, ramai pengguna kenderaan singgah di sini untuk ambil gambar. Saya pun tahu kewujudan bunga lalang ini apabila lihat ramai yang singgah sewaktu pulang dari Sungai Petani ke Kuala Ketil,” katanya.

Katanya, ketika berkunjung di kawasan berkenaan, pengunjung dinasihati menitikberatkan keselamatan ketika parkir kenderaan.

“Tempat ini di tepi jalan raya utama, jadi pengguna letak kenderaan di bahu jalan yang ruangnya sempit. Saya nasihat supaya lebih berhati-hati kerana kenderaan di sini laju dari kedua-dua arah (Kuala Ketil-Sungai Petani).

“Selain itu, kena waspada apabila bergambar di sini kerana dibimbangi ada haiwan berbisa,” katanya.

Belum pun habis bunga tecoma, viral pula pasal padang dipenuhi ladang berbunga
Jerami gulung ini turut mendapat perhatian dari instagrammer untuk koleksi peribadi masing-masing
Tali air dipenuhi rumput ini turut menjadi perhatian ramai untuk bergambar
IKLAN