Berita

Hanya 39.25mm! Remaja India Cipta Lengan Robot Terkecil Dunia, Pecah Rekod Guinness World Records

Share

Lengan robot terkecil dunia kini menjadi milik seorang remaja berusia 17 tahun dari India selepas inovasinya diiktiraf oleh Guinness World Records. Pada usia yang masih muda, kebanyakan remaja masih sibuk dengan tugasan sekolah dan peperiksaan. Namun berbeza buat Hiten Dharpure dari Nagpur, Maharashtra, India apabila namanya kini tercatat dalam Guinness World Records selepas berjaya menghasilkan lengan robot (robot arm) terkecil di dunia.

Pelajar yang meminati bidang kecerdasan buatan (AI), robotik dan elektronik itu berjaya memecahkan rekod dunia pada 17 Januari apabila menghasilkan lengan robot yang berukuran hanya 39.25 milimeter, iaitu lebih kecil daripada klip kertas biasa.

Lebih mengagumkan, inovasi tersebut dibangunkan sepenuhnya dari ruang kerja kecil di rumahnya tanpa menggunakan makmal berteknologi tinggi. Pencapaian itu membuktikan bahawa kreativiti dan keazaman mampu menghasilkan teknologi bertaraf dunia walaupun dengan sumber yang terhad.

Rekod Baharu Lengan Robot Terkecil Dunia

Sebelum ini, rekod lengan robot terkecil dunia dipegang oleh Kelton Serra dari Amerika Syarikat yang menghasilkan lengan robot berukuran 44.49 milimeter pada Mei 2024.

Selepas menjalankan kajian mengenai teknologi miniatur, Hiten percaya dia mampu menghasilkan sesuatu yang lebih kecil. Hasil usaha selama beberapa bulan akhirnya membuahkan hasil apabila ciptaannya berjaya mengurangkan saiz rekod terdahulu lebih daripada lima milimeter.

Menurut Hiten, matlamat utamanya bukan sekadar mahu memecahkan rekod dunia, sebaliknya membuktikan bahawa inovasi bertaraf antarabangsa juga boleh dihasilkan menggunakan peralatan yang mudah diperoleh.

Ambil Masa Dua Bulan Siapkan Prototaip

Untuk merealisasikan projek tersebut, Hiten terlebih dahulu menghasilkan lakaran menggunakan perisian Computer-Aided Design (CAD) sebelum mencetak struktur utama menggunakan teknologi 3D printing.

Bukan itu sahaja, dia turut membangunkan sendiri sistem elektronik dan menulis kod pengaturcaraan menggunakan bahasa C/C++ untuk mikropengawal Arduino bagi memastikan setiap pergerakan lengan robot terkecil dunia itu dapat dikawal dengan tepat melalui sistem Pulse Width Modulation (PWM).

Selepas kira-kira dua bulan melakukan pelbagai ujian dan penambahbaikan, prototaip pertama yang berfungsi sepenuhnya akhirnya berjaya dihasilkan.

Cabaran Menghasilkan Lengan Robot Terkecil Dunia

Walaupun saiznya kecil, menghasilkan lengan robot terkecil dunia bukanlah sesuatu yang mudah.

Hiten mengakui cabaran terbesar adalah memastikan semua komponen seperti motor mikro, pendawaian dan modul kawalan dapat dimuatkan dalam rangka berukuran hanya 39.25 milimeter.

Sepanjang proses pembangunan, dia menghasilkan banyak prototaip yang gagal. Ada struktur yang patah kerana terlalu nipis, manakala ada juga komponen yang gagal berfungsi dengan baik kerana ruang dalaman terlalu sempit.

Bagaimanapun, setiap kegagalan menjadi pengajaran penting untuk menambah baik reka bentuk sehingga berjaya menghasilkan versi yang benar-benar berfungsi.

Sudah Dua Kali Pecahkan Rekod Dunia

Ini bukan kali pertama Hiten mencipta nama di pentas antarabangsa.

Pada tahun 2025, dia turut mencatat rekod stesen cuaca (weather station) terkecil di dunia dengan ukuran hanya 74mm panjang, 44mm lebar dan 60mm tinggi.

Walaupun bersaiz kecil, peranti tersebut mampu mengukur pelbagai data penting termasuk suhu, kelembapan dan tekanan udara menggunakan sensor miniatur yang dibangunkan olehnya.

Menurut Hiten, projek lengan robot terkecil dunia jauh lebih mencabar kerana ia memerlukan kawalan mekanikal yang tepat bagi membolehkan robot bergerak dalam tiga paksi serta menggenggam objek kecil tanpa menjatuhkannya.

Selain memegang dua rekod Guinness World Records, Hiten juga aktif menghasilkan inovasi lain.

Antaranya ialah pembangunan aplikasi mudah alih HastaVaani, iaitu aplikasi penterjemah Bahasa Isyarat India (Indian Sign Language) yang boleh digunakan secara luar talian bagi membantu mengurangkan jurang komunikasi dalam kalangan masyarakat.

Baru-baru ini, Hiten turut berpeluang bertemu Menteri Pengangkutan Jalan Raya dan Lebuh Raya India, Shri Nitin Gadkari, untuk berkongsi hasil inovasi serta menunjukkan sijil Guinness World Records miliknya.

Menurut Hiten, teknologi mikro seperti lengan robot terkecil dunia ciptaannya berpotensi digunakan dalam pelbagai sektor pada masa depan, termasuk bidang perubatan untuk membantu prosedur pembedahan yang memerlukan ketepatan tinggi serta industri elektronik bagi proses pembuatan mikrocip.

Dengan dua rekod dunia pada usia hanya 17 tahun, Hiten membuktikan bahawa semangat ingin tahu, kreativiti dan kesungguhan mampu melahirkan inovasi bertaraf dunia walaupun bermula dari sebuah ruang kerja kecil di rumah. Kejayaan ini turut menjadi inspirasi kepada generasi muda bahawa inovasi hebat tidak semestinya memerlukan kemudahan yang mewah, sebaliknya lahir daripada usaha berterusan, minat yang mendalam dan keberanian untuk mencuba sesuatu yang baharu.

Sumber : Guinness World Record

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Darwisy