
Pemain badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia, sekali lagi menjadi perhatian selepas tindakannya memuat naik beberapa foto berunsur misteri di laman Instagram miliknya.
Menerusi hantaran terbaharu di Instagram, atlet berusia 27 tahun itu dilihat berkongsi beberapa ilustrasi aneh yang penuh simbolik dan mencetuskan pelbagai persoalan
Antara imej yang dimuat naik termasuklah gambar wajah terbakar, muka seseorang dicucuk jarum, jasad individu terbaring di atas sofa dengan darah mengalir, serta suasana sekeliling yang kelam dan suram.
Selain itu, terdapat juga ilustrasi lembaga hitam misteri dan gambar yang seakan menggambarkan keadaan minda seseorang yang kosong, seolah-olah hilang arah dan semangat.
Apa yang lebih menguatkan tanda tanya ialah tindakan Zii Jia yang menukar gambar profil Instagram (display picture) kepada warna hitam sepenuhnya, satu simbol universal yang sering dikaitkan dengan perasaan sedih, kehilangan atau kemurungan.
Tindakan Zii Jia itu menimbulkan rasa risau dalam kalangan peminat dan warganet, lebih-lebih lagi kerana beliau tidak meletakkan sebarang kapsyen atau penjelasan bagi gambar-gambar berkenaan.
Imej-imej tersebut seolah-olah membawa maksud tersirat yang hanya difahami oleh si empunya diri, sekali gus mencetuskan pelbagai andaian dalam kalangan netizen.
Rata-rata pengguna media sosial menyuarakan kebimbangan dan menyatakan sokongan moral kepada atlet kelahiran Kedah itu. Ada juga yang meluahkan harapan agar Zii Jia berada dalam keadaan baik dan tidak memendam tekanan sendirian.
Kami di Majalah Remaja mendoakan agar Lee Zii Jia sentiasa berada dalam keadaan baik, kuat dan tabah dalam menghadapi apa jua cabaran. Harapan seluruh rakyat Malaysia sentiasa mengiringi beliau, bukan hanya di gelanggang, tetapi juga dalam aspek kesihatan mental dan kesejahteraan diri.
Jika anda atau kenalan anda memerlukan bantuan emosi, sila hubungi talian sokongan seperti Befrienders di talian 03-7627 2929. Anda tidak keseorangan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.