
Jaguh perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia baru-baru ini kembali menjadi tumpuan apabila turun beraksi di Kejohanan Badminton Dunia BWF 2025 yang akan berlangsung di Adidas Arena, Paris bermula hari ini. Apa yang lebih mengagumkan, kemunculan semula pemain berusia 27 tahun itu dinanti-nantikan selepas berehat panjang akibat kecederaan buku lali sejak Mac lalu.
Menurut perkongsian Team LZJ di laman Instagram, Zii Jia tidak mahu meletakkan tekanan besar ke atas dirinya dalam kejohanan kali ini.
“Sudah agak lama dan Kejohanan Dunia akan menjadi kejohanan pertama saya selepas berehat panjang”
“Saya tidak mahu meletakkan terlalu banyak tekanan pada diri sendiri. Saya hanya mahu menikmati kembali berada di gelanggang kompetitif dan yang paling penting, menamatkan kempen di Paris tanpa sebarang kecederaan,” katanya.
Pada masa yang sama, dalam satu pendedahan kepada BWF, pemain kesayangan negara itu mengakui tempoh lima bulan berehat memberi tamparan hebat bukan sahaja dari segi fizikal malah emosi.
“Sepanjang lima bulan itu, saya bukan sahaja berdepan kecederaan tetapi juga tekanan dan sudah tentu menghadapi sedikit kemurungan. Ini bukan sesuatu yang normal (berehat selama lima bulan),” ujarnya.
“Saya pernah berada dalam situasi, saya mahu berhenti bermain kerana semua kecederaan dan perkara yang membelenggu saya,” jelasnya lagi.
Mengakui berdepan cabaran mental, Zii Jia berkata beliau memilih untuk menjauhkan diri daripada media sosial dan dunia badminton buat sementara waktu. Sebaliknya, beliau menumpukan masa ‘perjalanan penyembuhan’ dengan aktiviti membaca, mengembara solo, terjun udara di Dubai serta melawat muzium seni di Abu Dhabi.
“Saya juga mengembara untuk segarkan fikiran. Saya agak obses dengan seni. Saya sedar melalui seni mampu mengekspresikan perasaan kita, bukan sahaja sisi indah tetapi kadangkala sisi gelap juga. Sebab itu saya kongsikan gambar-gambar tersebut,” tambah Zii Jia.
Terdahulu, pada Julai Zii Jia mencuri perhatian menerusi beberapa perkongsian gambar lukisan misteri di media sosialnya menimbulkan spekulasi mengenai keadaan emosinya ketika itu.
Kini, dengan semangat baharu, beliau berharap penampilan semula di Paris mampu membuka lembaran positif buat kariernya. Kejohanan Dunia ini bukan sahaja menjadi peluang untuk menguji ketahanan dirinya selepas kecederaan, malah platform penting untuk membina kembali keyakinan menjelang baki saingan musim ini.
Sekadar info, bekas juara All England 2021 itu sebelum ini dilanda kecederaan ketika beraksi di Jelajah Dunia Akhir pada Disember lalu. Kecederaan tersebut memaksanya menarik diri daripada beberapa siri kejohanan utama termasuk Terbuka Amerika Syarikat, Jepun dan China, selain tersingkir awal dalam kejohanan Masters Orleans dan All England pada Mac.
Untuk perkembangan terkini, bagi aksi pembukaan pemain kelahiran Alor Setar itu dijadualkan menentang wakil Korea Selatan, Jeon Hyuk-jin yang berada di ranking ke-38 dunia.
Sumber: Bernama
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.