
Seorang wanita berusia lewat 30-an menjadi mangsa penipuan cinta atau love scam selepas terpedaya dengan individu yang menyamar sebagai pelakon popular Korea Selatan, Lee Dong-wook.
Lebih mengejutkan, wanita berkenaan percaya dirinya menjalinkan hubungan romantik bersama bintang drama Goblin itu selama kira-kira lapan bulan sebelum mengalami kerugian sebanyak 35 juta won (sekitar RM100,000).
Menerusi kemunculannya dalam program SBS, News Hunters, wanita tersebut mendedahkan bahawa segala-galanya bermula menerusi media sosial apabila dia menerima mesej peribadi daripada individu yang mendakwa dirinya sebagai Lee Dong-wook.
Sepanjang lapan bulan berhubung, scammer berkenaan dikatakan berjaya meyakinkannya bahawa hubungan mereka bukan sekadar antara selebriti dan peminat, malah sudah berkembang menjadi hubungan cinta.
Menurut mangsa, mereka turut berbincang mengenai perancangan untuk bertemu ibu bapanya dan mengatur pertemuan antara kedua-dua keluarga.
Malah, dia memanggil individu berkenaan sebagai ‘oppa’, manakala scammer itu pula memanggilnya dengan panggilan mesra ‘honey’ serta mendakwa telah memilih wanita tersebut sebagai pasangan hidup.
Apa yang menimbulkan persoalan, sepanjang lapan bulan ‘hubungan’ tersebut berlangsung, mereka tidak pernah bertemu secara bersemuka mahupun bercakap menerusi panggilan telefon.
Situasi mula bertukar menjadi lebih serius apabila individu terbabit mendakwa dirinya sedang menjalani penggambaran di luar negara dan telah menghantar sebuah bungkusan hadiah kepada mangsa.
Bungkusan berkenaan kononnya mengandungi hadiah bernilai kira-kira 700 juta won.
Bagaimanapun, scammer tersebut kemudian mendakwa bungkusan itu berdepan masalah untuk melepasi kastam dan meminta mangsa membuat beberapa pembayaran bagi urusan dokumentasi pelepasan kastam serta caj penyimpanan.
Disebabkan mempercayai individu berkenaan sebagai Lee Dong-wook, mangsa melakukan beberapa transaksi sehingga jumlah keseluruhan wang yang dipindahkan mencecah kira-kira 35 juta won.
Malangnya, wang tersebut gagal diperoleh semula selepas dia menyedari dirinya telah menjadi mangsa penipuan.
Susulan kejadian tersebut, agensi yang menaungi Lee Dong-wook tampil memberi peringatan kepada peminat selepas menerima laporan mengenai individu tidak bertanggungjawab yang menyamar sebagai artis mereka menerusi platform media sosial dan aplikasi mesej peribadi.
Agensi itu menegaskan bahawa artis di bawah pengurusan mereka tidak akan meminta wang, barangan berharga mahupun maklumat peribadi daripada peminat melalui saluran peribadi.
Mereka juga tidak akan menghubungi peminat secara peribadi untuk meminta sebarang bayaran atas alasan menghadiri acara seperti VIP fan meeting.
Kes tersebut sekali lagi mencetuskan kebimbangan terhadap peningkatan love scam menggunakan identiti selebriti, lebih-lebih lagi apabila perkembangan teknologi digital dan artificial intelligence (AI) membolehkan penyamaran dilakukan dengan lebih meyakinkan.
Malah, Lee Dong-wook bukan satu-satunya selebriti Korea Selatan yang identitinya pernah dieksploitasi.
Pada Oktober lalu, sindiket love scam yang menyamar sebagai pelakon Squid Game, Lee Jung-jae dilaporkan memperdaya seorang wanita berusia lingkungan 50-an sehingga mengalami kerugian kira-kira 500 juta won.
Susulan kejadian itu, agensi Lee Jung-jae, Artist Company turut memberi amaran kepada orang ramai serta memaklumkan bahawa tindakan undang-undang akan diambil terhadap pihak yang menyalahgunakan identiti artis mereka.
Kes seperti ini menunjukkan bahawa identiti selebriti terkenal boleh digunakan oleh scammer untuk membina keyakinan mangsa. Komunikasi yang berpanjangan juga boleh menyebabkan seseorang semakin mempercayai hubungan yang diwujudkan meskipun mereka tidak pernah bertemu atau bercakap secara langsung dengan individu terbabit.
Sumber : The Korean Times
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.