Hujung 2021: Laluan Penerbangan Singapura-Australia Tanpa Perlu Kuarantin

Share

Satu-persatu negara semakin bersedia membuka laluan penerbangan antarabangsa dengan negara lain yang tidak berdepan situasi pandemik kritikan pada masa ini

Setelah tiba di Singapura pada minggu ini, Menteri Perdagangan Australia, Dan Tehan berkongsi mengenai persediaan Australia untuk membenarkan perjalanan rakyat di antara Australia dan Singapura seawal hujung tahun ini.

Persetujuan jenis ‘travel bubble’ (gelembung perjalanan) ini pada asalnya dirancang untuk dilaksanakan lebih awal pada tahun ini. Namun, disebabkan kenaikan kes akibat wabak COVID-19 dan penularan varian Delta di Sydney sehingga memaksa bandaraya paling ramai penduduk di Australia itu mengenakan perintah berkurung sejak 26 Jun lalu; kedua-dua negara mengambil keputusan menundanya.

Apapun, Australia komited untuk melancarkan travel bubble dengan Singapura tanpa memerlukan rakyat diletakkan di bawah perintah kuarantin setelah mereka tiba di destinasi.

Ini demi memberi peluang kepada pelajar untuk menyambung pengajian ke Australia ataupun untuk kepentingan perniagaan.

Singapura. Sumber Foto : ThoughtCo

Kata Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Singapura, Will Hodgman ketika temuramah bersama Bloomberg TV pada hari ini, “Komitmen yang utuh telah dipersetujui kerajaan Australia dan Singapura untuk mempercepatkan sistem – keupayaan operasi, persediaan asas yang perlu dikecapi – demi memastikan perjalanan yang selamat.”

Antara persediaan asas yang dimaksudkan itu termasuklah meningkatkan peratusan rakyat yang menerima dos suntikan vaksin di Australia. Untuk pengetahuan, Singapura telah berjaya memastikan 70 peratus rakyatnya telah sekurang-kurangnya menerima satu dos vaksin setakat ini, berbanding hanya 26 peratus rakyat di Australia.

Sydney Australia. Sumber Foto : Magenest

Sebelum ini, media di Australia pernah melaporkan negara itu sedang merancang meluaskan aturan laluan penerbangan dua negara kepada tiga negara iaitu antara Australia – Singapura – New Zealand.

Sumber : (1)

IKLAN