
Skuad bola sepak muda dari utara tanah air, KSAH Vipers mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya menjuarai kategori Bawah 16 Tahun (B16) dalam edisi kelima LaLiga Youth Tournament Malaysia 2025 yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, baru-baru ini.
Kejohanan paling berprestij bagi bola sepak akar umbi di rantau ini telah berlangsung selama tiga hari sekaligus menghimpunkan lebih 70 pasukan dari pelbagai negara Asia dan Eropah termasuk Thailand, Indonesia, India, Pakistan, China, Singapura, Filipina, Sepanyol dan Bangladesh.
Dalam pada itu, KSAH Vipers, yang mewakili Kolej Sultan Abdul Hamid, Kedah, mempamerkan aksi konsisten dan penuh disiplin sejak perlawanan awal lagi apabila pasukan ini menewaskan beberapa nama besar sepanjang kejohanan sebelum mencipta kejayaan manis di pentas final.
Pada masa yang sama, kemenangan pasuka ini sekaligus membuktikan bahawa bakat muda dari Kedah juga mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Selain KSAH Vipers, tiga lagi pasukan turut bergelar juara dalam kategori masing-masing iaitu JESS FC (B14), JDT FC (B12) dan Infinity FC (B10). Keempat-empat pasukan ini membuktikan tahap permainan yang tinggi dan berpotensi besar untuk digilap ke peringkat lebih jauh.
Sementara itu, sebagai penghargaan kepada usaha dan bakat mereka, setiap pemain turut menerima medal edisi khas LaLiga serta lencana rasmi kejohanan. Manakala pemain terbaik daripada setiap kategori menerima biasiswa latihan selama seminggu di LaLiga Academy Malaysia.
Dalam edisi kali ini, lebih 4,000 penonton yang membanjiri sepanjang tiga hari kejohanan. Selain itu, reputasi LaLiga Youth Tournament sebagai salah satu platform pembangunan belia bola sepak paling berprestij di Asia Tenggara juga akan terus diperkukuh.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.