Konsert Lauv Di Malaysia Dibatalkan, Desas Desus Tunding Jari Pada Kes Matt Healy Sebagai Punca?

Share

Penyanyi dan penulis lagu Amerika Ari Leff, lebih dikenali sebagai Lauv, sepatutnya berlabuh di Kuala Lumpur akhir tahun ini. Namun, angan-angan peminatnya untuk melihat persembahan tersebut hancur lebur apabila pihak Live Nation mengumumkan jelajahnya ke Malaysia telah dibatalkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Batalkan Persembahan Di Indonesia & Taiwan, Vokalis The 1975 Umum Pulang Terus Ke UK

April lalu, Lauv secara rasmi mengumumkan jelajah Asianya, The Between Albums Tour, yang dijadualkan berlangsung antara Ogos hingga September tahun ini.

Melangkah ke pelbagai destinasi di seluruh Asia, Lauv dijadualkan memulakan jelajahnya pada 19 Ogos di Tokyo, Jepun dan akan melawat lokasi lain seperti Hong Kong, Bangkok, Seoul, Taipei, Jakarta, Singapura, Manila, dan sudah tentu , Kuala Lumpur.

Pada mulanya konsert tersebut hanya dijadualkan untuk satu malam sahaja, namun dek kerana permintaan ramai, penyanyi itu akhirnya melanjutkan kehadirannya dengan menambah satu lagi tarikh tambahan di Kuala Lumpur.

Namun, nampaknya persembahan di Plenary Hall KLCC itu tidak akan berlangsung dek kerana ianya telah diumumkan batal menerusi hantaran emel dari pihak penganjur kepada para peminat yang sudah membeli tiket konsert tersebut.

Tangkap layar emel dari pihak Live Nation berkaitan isu pembatalan konsert jelajah tersebut.

Majoriti peminat meluahkan kekecewaan mereka di laman media sosial dan membuat spekulasi bahawa pembatalan konsert tersebut dek kerana insiden penuh kontroversi band The 1975 di Good Vibes Festival baru-baru ini.

Tambahan lagi, Lauv tampil mengumumkan identiti seksualnya sebagai seorang biseksual dalam perkongsian TikTok bulan lalu dengan mengatakan, “Apabila anda berpacaran dengan seorang gadis tetapi anda juga mempunyai perasaan terhadap lelaki.”

Awal minggu lalu, penyanyi “Paris In The Rain” itu turut berkongsi tentang seksualitinya dengan lebih terperinci di laman Youtube.

Seperti yang anda ketahui, Malaysia mempunyai undang-undang LGBTQ+ yang ketat dan telah melarang beberapa ‘queer artist’  daripada membuat persembahan di negara ini terdahulu.

Namun sehingga kini tiada penjelasan jelas dari pihak Live Nation selaku penganjur tentang sebab utama pembatalan jelajah konsert tersebut.

BACA LAGI: Aksi Cium Sesama Jenis, Bawa Botol Arak.. Slot Konsert The 1975 Di Sepang Penuh Drama Hingga Terpaksa Dihentikan

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER FOTO: Live Nation

Published by
Adriana Syaurah