
Terbaru, Kuala Lumpur bakal menjadi saksi kepada detik bersejarah yang cukup bermakna apabila BTS akhirnya mengesahkan kepulangan mereka ke Malaysia selepas penantian selama 11 tahun.
Menerusi pengumuman rasmi di aplikasi Weverse, kumpulan sensasi global itu dijadualkan mengadakan konsert selama dua malam pada 12 dan 13 Disember ini, sekaligus menamatkan kerinduan panjang BTS ARMY tempatan yang setia menunggu sejak kemunculan terakhir BTS di negara ini pada tahun 2015 menerusi jelajah ‘EPISODE II. THE RED BULLET’.
Difahamkan, persembahan di Kuala Lumpur ini merupakan sebahagian daripada konsert jelajah dunia terbesar BTS setakat ini, yang akan berlangsung bermula dari April 2026 hingga Mac 2027. Jelajah bersejarah ini juga menandakan kemunculan semula Jin, SUGA, J-Hope, RM, Jimin, V, dan Jung Kook sebagai sebuah kumpulan penuh selepas tiga tahun menyelesaikan komitmen perkhidmatan ketenteraan wajib.
Pada masa yang sama, jelajah dunia ini akan dimulakan dengan persembahan berskala stadium selama tiga hari di Goyang, Korea Selatan, pada 9, 11 dan 12 April ini. Ia dijangka menjadi pembuka tirai kepada era baru BTS, yang kini kembali dengan lebih bersemangat dan juga skala produksi yang lebih besar berbanding jelajah terdahulu.
Selain Asia Tenggara, konsert jelajah ini akan merangkumi Amerika Utara, Eropah, Oceania dan Asia Timur, dengan perancangan tambahan untuk Amerika Latin, termasuk persembahan sulung di negara seperti Peru dan Colombia. Selain itu, tarikh tambahan di Jepun dan negara di Timur Tengah juga dijangka diumumkan pada tahun hadapan.
BTS turut dijangka bakal meraikan ulang tahun ke-13 penubuhan mereka menerusi tarikh istimewa jelajah di Busan pada 12 dan 13 Jun ini, sebuah bandar yang cukup signifikan dalam sejarah perjalanan kumpulan tersebut. Di samping itu, detik ini akan menjadi antara persembahan paling emosional dalam keseluruhan jelajah.
Sementara itu, bagi peminat di Malaysia, kepulangan BTS kali ini membawa makna tersendiri. Terdahulu, konsert ‘Yet to Come’ di Busan pada 15 Oktober 2022 merupakan persembahan terakhir BTS sebelum ahli-ahlinya menjalani perkhidmatan ketenteraan. Jin dan J-Hope menamatkan perkhidmatan mereka pada 2023, manakala RM, SUGA, Jimin, V dan Jung Kook pula selesai menjalani khidmat pada 2025, membuka laluan kepada kemunculan semula berskala besar.
Untuk maklumat lanjut mengenai lokasi konsert dan jualan tiket di Kuala Lumpur masih belum diumumkan setakat ini. Bagaimanapun, para peminat terutama ARMY dinasihatkan untuk mengikuti perkembangan terkini menerusi laman rasmi BTS dan penganjur rasmi di Malaysia. Walaupun begitu, satu perkara sudah pasti, 12 dan 13 Disember bakal menjadi antara detik yang dinanti-nantikan oleh ARMY Malaysia.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.