
Terbaru, tiket konsert kumpulan K-Pop popular, BIGBANG yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur dilaporkan habis terjual dalam tempoh hanya 25 minit 31 saat. Kejayaan jualan tersebut sekaligus memperlihatkan sambutan luar biasa peminat terhadap kemunculan semula kumpulan berkenaan di Malaysia.
Difahamkan, konsert yang dijadualkan berlangsung pada 9 Januari 2027 itu merupakan sebahagian daripada jelajah ‘BIGBANG 2026–2027 World Tour’ sempena sambutan ulang tahun ke-20 kumpulan tersebut. Jelajah berkenaan hadir selepas BIGBANG melancarkan single kemunculan semula mereka berjudul ‘BiiiG’, pada 19 Ogos lalu.
Menurut penganjur, iMe Malaysia, sambutan terhadap konsert itu sebenarnya sudah dapat dilihat sejak jualan pra-tempahan tiket VIP dibuka pada 17 September lalu apabila kesemua tiket kategori berkenaan habis dalam masa kira-kira 90 minit.
Situasi sama berulang ketika jualan tiket kepada umum dibuka pada 22 September apabila peminat pantas mendapatkan tiket sehingga keseluruhan kapasiti yang diperuntukkan habis dalam masa kurang setengah jam.
Susulan permintaan yang begitu tinggi, pihak penganjur turut memaklumkan bahawa mereka kini sedang mengadakan perbincangan bagi mempertimbangkan kemungkinan menambah satu lagi hari persembahan buat peminat di Malaysia.
BACA: BIGBANG Kembali Gegar Kuala Lumpur Selepas Hampir Sedekad, Bakal Temui VIP Januari Ini!
Dalam pada itu, iMe Malaysia menzahirkan penghargaan kepada semua peminat atas sokongan yang diberikan terhadap konsert BigBang, selain menyifatkan sambutan tersebut sebagai sesuatu yang amat menggalakkan.
Untuk rekod, BIGBANG kini dianggotai tiga anggota iaitu G-Dragon, Taeyang dan Daesung. Kumpulan tersebut pada asalnya mempunyai lima anggota sebelum Seungri meninggalkan industri hiburan pada Mac 2019, manakala T.O.P mengumumkan pemergiannya daripada kumpulan itu pada Mei 2023.
Sepanjang perjalanan karier, BIGBANG dikenali sebagai antara kumpulan yang memainkan peranan penting dalam perkembangan ‘Hallyu’ di peringkat global, termasuk menerusi pendekatan muzik yang eksperimental, penglibatan dalam penghasilan karya serta persembahan pentas yang menjadi identiti mereka. Tidak hairanlah, kumpulan berkenaan terus mempunyai pengaruh besar dalam kalangan peminat K-Pop meskipun sudah dua dekad berada dalam industri.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.