
Pengorbanan seorang remaja yang sanggup mengetepikan impiannya demi membantu keluarga akhirnya mendapat perhatian ramai apabila kisah hidupnya disentuh oleh Timbalan Menteri Perpaduan Negara.
Amirah, yang baru sahaja tamat peperiksaan SPM, memilih untuk bekerja berbanding menyambung pengajian kerana mahu membantu ibunya, Kak Zah, yang berdepan kesukaran hidup sejak sekian lama.
Kak Zah sudah bertahun-tahun membesarkan anak-anak tanpa suami di sisi selepas ditinggalkan. Dalam masa sama, dia turut menjaga ibunya yang terlantar akibat strok sehingga memaksanya berhenti kerja.
Kini, keluarga tersebut hanya bergantung kepada pendapatan anak sulung, Atikah, yang bekerja di sebuah kedai kain dengan gaji sekadar cukup untuk menampung keperluan harian keluarga.
Melihat keadaan itu, Amirah membuat keputusan untuk bekerja bagi membantu keluarga selain mahu menjaga neneknya yang semakin uzur.
Menurut Amirah, neneknya merupakan individu yang banyak menjaganya sejak kecil dan dia tidak mahu mensia-siakan masa yang masih ada bersama warga emas itu.
“Dulu nenek selalu jaga saya, masakkan makanan kegemaran saya. Sekarang nenek sakit dan terlantar, jadi saya nak jaga dia pula,” katanya.
Kisah keluarga susah yang dilalui Amirah itu kemudian mendapat perhatian Timbalan Menteri Perpaduan Negara yang tampil membantu remaja berkenaan mendapatkan lesen motosikal B2 selain membantunya mencari pekerjaan yang sesuai.
Beliau turut menemani Amirah menghadiri beberapa sesi temuduga sebelum remaja itu berjaya memperoleh tawaran pekerjaan dengan gaji hampir RM2,000 sebulan.
Sebagai satu kejutan, Amirah turut dihadiahkan sebuah motosikal baharu bagi memudahkan urusan hariannya untuk bekerja dan membantu keluarga.
Momen tersebut menjadi cukup menyentuh hati apabila Amirah tidak dapat menahan air mata selepas mengetahui motosikal itu diberikan khas untuknya.
“Kenapa buat semua ni untuk saya?” soal Amirah dalam keadaan sebak.
Menurut Timbalan Menteri itu, bantuan tersebut diberikan secara ikhlas menggunakan gajinya sendiri sebagai usaha membantu meringankan beban keluarga berkenaan.
Beliau turut berharap bantuan itu dapat menjadi titik permulaan baharu buat Amirah untuk membina masa depan yang lebih baik sambil terus menjaga keluarganya.
Kisah keluarga susah seperti yang dialami Amirah ini turut menyentuh hati ramai netizen yang memuji keprihatinan pemimpin turun padang membantu rakyat memerlukan.
Ramai berharap bantuan yang diterima Amirah mampu memberi sinar baharu kepada keluarganya selain menjadi inspirasi kepada masyarakat agar lebih peka terhadap nasib golongan yang memerlukan bantuan.
Sumber : Facebook YB Yuneswaran Ramaraj
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.