Inpirasi

Anak Angkat YB Steven Sim Buktikan Kecekalan, Putri Raih 3 Kali Dekan Di UM Walau Diuji

Share

Baru-baru ini, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong mencuri perhatian apabila berkongsi kisah menyentuh hati mengenai salah seorang anak angkatnya yang penuh semangat juang.

Menerusi sebuah perkongsian di Facebook milik beliau, Steven dilihat meluangkan masa menziarahi Putri yang baru sahaja keluar dari hospital selepas menjalani pembedahan, walaupun beliau dalam kesibukan jadual kerja yang padat.

“Putri antara anak angkat yang saya amat banggakan. Keluarganya hidup dalam keadaan serba mencabar, ayah dan ibu ada masalah kesihatan kronik. Ayah pesakit jantung, tengah tunggu nak buat bypass”

“Kini Putri sendiri jatuh sakit. Katanya sakit itu sangat memedihkan. Walaupun dah buat operation doktor kata kena makan ubat sampai bila-bila untuk kurangkan sakitnya itu,” katanya.

“Kalau orang lain yang diuji begitu berat mungkin dah putus asa. Tapi Putri tak pernah mengalah. Dia tahu ayah dan ibu sangat susah, jadi dia kerja part-time. Dia belajar bersungguh-sungguh sampai dapat Anugerah Naib Canselor ketika buat diploma dan kini dah 3 kali dapat hadiah dekan di Universiti Malaya (UM),” jelasnya lagi.

Menurut Steven, kisah Putri jelas menggambarkan kekuatan luar biasa seorang anak muda yang tidak tunduk kepada kesusahan hidup. Dalam keadaan kesihatan yang tidak menentu serta tekanan keluarga, beliau tetap memilih untuk terus bangkit dan mengejar impian akademiknya.

Sejak zaman diploma di UiTM, Putri telah menunjukkan potensi besar apabila berjaya meraih kecemerlangan sehingga menerima Anugerah Naib Canselor. Kini, sebagai pelajar di UM beliau sekali lagi membuktikan konsistensi dengan meraih pengiktirafan dalam senarai dekan sebanyak tiga kali.

Lebih menyentuh hati, sokongan yang diberikan oleh Steven sejak awal termasuk pemberian sebuah komputer riba terus menjadi peneman setia Putri dalam perjalanan akademiknya. Malah, beliau turut menawarkan peluang latihan industri di kementerian sebagai pengiktirafan terhadap usaha keras dan pencapaian cemerlang Putri.

Di samping itu, Steven turut membantu meringankan beban kewangan Putri dengan menanggung kos ubat-ubatan bulanan serta memberikan bantuan menjelang Aidilfitri. Kisah ini bukan sahaja mencerminkan keprihatinan beliau sebagai seorang pemimpin, malah menjadi inspirasi buat ramai bahawa dengan usaha dan ketabahan, tiada halangan yang mustahil untuk diatasi.

Sumber: Facebook YB Steven Sim Chee Keong

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE