
Bagi setiap ibu bapa, perkembangan anak sejak usia kecil pastinya menjadi antara perkara yang paling diberi perhatian. Begitu juga buat Azmi Saat dan isteri yang mula menyedari terdapat sedikit perbezaan pada perkembangan anak perempuan mereka, Khalisa sejak usianya sekitar satu tahun setengah.
Menurut perkongsian Azmi, antara perkara yang paling ketara ketika itu adalah perkembangan komunikasi Khalisa yang dilihat agak perlahan berbanding kanak-kanak seusianya.
Malah, isterinya yang mempunyai latar belakang Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak turut merasakan terdapat beberapa perkara mengenai perkembangan Khalisa yang perlu diberikan perhatian lebih awal.
Sebaliknya, Azmi dan isteri mula mendapatkan bantuan yang dirasakan sesuai untuk Khalisa termasuk membawanya menjalani terapi cara kerja atau occupational therapy
serta mengikuti Early Intervention Programme (EIP).Apa sahaja yang termampu dilakukan demi membantu perkembangan anak mereka, pasangan tersebut cuba usahakan.
Dalam masa sama, sebagai ibu bapa, mereka tetap menyimpan harapan agar perkembangan Khalisa akan menjadi lebih baik seiring pertambahan usianya.
Selepas melalui proses menunggu dan mendapatkan penilaian profesional, akhirnya Azmi dan isteri menerima jawapan yang selama ini mereka nantikan apabila doktor mengesahkan Khalisa berada dalam spektrum autisme.
Biarpun sudah lama membaca, bertanya dan cuba memahami tentang autisme, hakikat menerima pengesahan tersebut tetap memberi kesan emosi kepada mereka sebagai ibu bapa.
Malah, Azmi mengakui mereka sudah menyedari beberapa ciri berkaitan autisme yang terdapat pada Khalisa sebelum diagnosis rasmi diberikan.
Bukan kerana sukar menerima keadaan Khalisa, sebaliknya sebagai ibu bapa, pelbagai persoalan mengenai masa depan anak kesayangan mereka mula bermain dalam fikiran. Lebih-lebih lagi apabila Azmi dan isterinya sendiri merupakan individu yang tidak dapat melihat.
Biarpun sebelum ini pernah membayangkan perjalanan membesarkan anak yang mungkin lebih mudah, mereka menerima bahawa Allah SWT telah menentukan perjalanan berbeza buat keluarga kecil mereka.
Bagi Azmi, mungkin ada hikmah yang belum dapat mereka lihat dan fahami sepenuhnya pada hari ini.
Di sebalik emosi yang bercampur-baur, ada satu perkara yang cukup disyukuri Azmi selepas menerima diagnosis tersebut.
Kini, mereka mempunyai arah yang lebih jelas untuk membantu Khalisa.
Mereka tahu perkara yang perlu dipelajari, bentuk bantuan yang boleh dicari dan perubahan yang perlu dilakukan sebagai ibu dan ayah bagi memahami keperluan anak mereka dengan lebih baik.
Selepas ini, terapi Khalisa akan terus dilakukan selain mereka turut merancang mendapatkan sebanyak mungkin ilmu serta sokongan yang bersesuaian dengan perkembangannya.
Urusan pendaftaran Orang Kurang Upaya (OKU) juga menjadi antara langkah seterusnya yang akan diusahakan agar Khalisa boleh mendapat akses kepada sokongan yang diperlukan.
Dalam perkongsiannya, Azmi menjelaskan kisah Khalisa disahkan autisme bukan dikongsikan untuk meraih simpati. Sebaliknya, dia berharap pengalaman keluarga mereka dapat memberi sesuatu kepada ibu bapa lain yang mungkin sedang melalui perjalanan serupa.
Menurutnya, kadangkala ibu bapa terlalu mengharapkan anak membesar seperti gambaran yang telah dicipta dalam fikiran sehingga terlupa untuk benar-benar mengenali diri dan kemampuan anak itu sendiri.
Hakikatnya, setiap anak mempunyai kemampuan, kekurangan, kelebihan serta tempoh perkembangan yang berbeza.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.