Gaya Hidup

Khairul Aming Ambil Tindakan Undang-Undang, Peguam Sudah Hantar LOD Kepada Maxis

Share

Pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming memaklumkan bahawa beliau kini mengambil tindakan undang-undang susulan insiden kebocoran data peribadi yang tular baru-baru ini.

Menerusi satu hantaran di Threads, Khairul Aming mendedahkan bahawa peguamnya telah menghantar Letter of Demand (LOD) kepada Maxis, selain beberapa laporan rasmi turut dibuat kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh.

Menurut beliau, laporan telah dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), laporan polis di IPD Dang Wangi bagi membuka siasatan terhadap individu yang terlibat, serta laporan kebocoran data kepada Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi (SPDP).

“Peguam saya telah pun hantar LOD kepada Maxis.”Laporan rasmi telah dibuat kepada MCMC. “Laporan polis telah dibuat di IPD Dang Wangi untuk buka siasatan ke atas pelaku. “Laporan kebocoran data telah dibuat kepada SPDP.”

Dalam masa sama, Khairul Aming berkata kes tersebut kini akan dikendalikan sepenuhnya oleh pasukan peguamnya sehingga selesai.

“Peguam-peguam saya akan takeover case ni sehingga selesai.”

Akui Sedih Dan Seram Dengan Isu Kebocoran Data

 

Pada masa sama, Khairul Aming mengakui insiden itu memberi kesan kepadanya kerana menyedarkan betapa mudahnya data peribadi seseorang boleh diakses tanpa kebenaran.

Menurutnya, bukan sahaja maklumat nombor telefon dan sejarah pembayaran boleh diperoleh, malah maklumat yang lebih sensitif seperti nombor kad pengenalan yang boleh digunakan untuk mengakses sistem MySara juga didakwa turut terdedah.

“Sejujurnya rasa sedih & seram sebab semudah tu je privacy hidup boleh hilang. Details telefon, payment history, subscription, sampai ke no IC boleh akses MySara, semuanya bocor”, katanya.

Kes Bermula Daripada Pendedahan Bil Telefon

Terdahulu, isu itu tercetus selepas seorang pengguna Threads berkongsi secara terbuka maklumat yang didakwa berkaitan bil telefon Khairul Aming, termasuk jumlah tunggakan yang dimilikinya.

Khairul Aming kemudian tampil menjelaskan bahawa beliau sememangnya membuat pembayaran bil lebih awal untuk beberapa bulan, namun baki kredit tersebut telah digunakan sehingga beliau tidak menyedari keadaan semasa bil berkenaan.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana maklumat peribadinya boleh diakses dan dikongsikan kepada umum.

Susulan insiden itu, Maxis mengeluarkan kenyataan rasmi memohon maaf serta memaklumkan bahawa siasatan dalaman telah dijalankan. Syarikat telekomunikasi tersebut turut mengesahkan individu yang dikaitkan dengan insiden berkenaan telah dikenal pasti dan tindakan segera termasuk tindakan undang-undang sedang diambil. Kini, Khairul Aming pula mengesahkan beliau turut mengambil langkah undang-undang bagi melindungi hak serta privasi dirinya.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Darwisy