Gaya Hidup

Minho SHINee Disaran Kurangkan Senaman Ekstrem, Doktor Dedah Kesan ‘Overtraining’ Terhadap Tubuh

Share

Penyanyi dan pelakon terkenal, Minho daripada kumpulan SHINee baru-baru ini mencuri perhatian peminat selepas berkongsi mengenai keadaan kesihatan beliau susulan rutin senaman yang dilakukan secara intensif. Bintang K-Pop itu juga menerima nasihat daripada doktor supaya lebih berhati-hati dalam menguruskan aktiviti fizikal agar tidak memberi tekanan berlebihan kepada tubuh badan.

Menerusi sebuah video yang dimuat naik di YouTube miliknya, Minho atau nama sebenarnya Choi Minho (35) dilihat menjalani pemeriksaan kesihatan menerusi kaedah perubatan tradisional Korea termasuk ujian 8-konstitusi. Pemeriksaan itu dilakukan bagi mengetahui keadaan semasa tubuh badannya serta mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai kesihatannya.

Selepas keputusan ujian darah diteliti, doktor mendapati paras AST Minho berada pada tahap tinggi dan mengaitkannya dengan kerosakan sel otot akibat latihan fizikal yang terlalu berat.

“Paras AST anda meningkat. AST akan naik apabila berlaku kerosakan pada otot. Keadaan ini sering berlaku kepada atlet profesional yang melakukan latihan berlebihan atau sedang bersedia untuk pertandingan,” jelas doktor tersebut.

Doktor berkenaan turut menjelaskan bahawa rutin harian Minho mempunyai tahap intensiti yang hampir sama seperti seorang atlet profesional yang membuat persediaan pertandingan setiap minggu. Beliau memaklumkan keputusan ujian itu juga selari dengan pemeriksaan awal menggunakan peralatan perubatan berketepatan tinggi dari hospital besar.

BACA: Momentum Juara Berterusan! Minho SHINee Sekali Lagi Ungguli Hyrox Singapura Bersama Hong Beomseok

Selain bacaan enzim otot, pemeriksaan tekanan darah Minho ketika berbaring turut menunjukkan indeks arteriosklerosis pada tahap 7.7, iaitu sedikit lebih tinggi daripada jangkaan. Walaupun senaman berlebihan boleh menjadi salah satu faktor penyumbang, doktor menegaskan penilaian lanjut masih diperlukan.

Pada masa yang sama, doktor turut memuji kualiti otot Minho yang berada dalam keadaan sangat baik. Minho kemudian bertanya sama ada keadaan tersebut bermaksud tubuhnya sihat tetapi hanya terlebih melakukan senaman, dan doktor mengesahkan bahawa beliau perlu lebih berhati-hati dengan rutin latihan yang diamalkan.

“Ujian darah anda menunjukkan tahap kerosakan otot yang tinggi dan nadi anda menunjukkan tahap ketegangan yang tinggi. Anda perlu lebih banyak berehat, makan dengan baik dan kurangkan tekanan terhadap tubuh badan apabila boleh,” ujarnya lagi.

Untuk info, Minho dikenali sebagai selebriti yang sangat aktif menjaga kecergasan, perkongsiannya ini menjadi peringatan bahawa latihan fizikal yang konsisten perlu disertai dengan rehat mencukupi. Walaupun memiliki tahap kecergasan yang membanggakan, penjagaan kesihatan jangka panjang tetap memerlukan keseimbangan yang baik.

Sumber: Youtube Minho SHINee

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE