
Isu buli yang mengaitkan pelajar sekolah menengah dengan kes Allahyarham Zara Qairina terus menjadi perhatian masyarakat. Terbaharu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tampil menarik semula kenyataan yang dibuatnya di Dewan Negara selepas tersilap menyebut nama bapa kepada salah seorang remaja yang dikaitkan dengan kes tersebut.
Menurut laporan Suara Merdeka, Saifuddin mengakui kekhilafannya ketika menjawab soalan lisan pada 18 Ogos lalu dan mengesahkan perkara itu ketika membentangkan laporan penuh perubatan kes Zara di Dewan Negara.
“Saya akui khilaf apabila menyebut nama terbabit. Saya tarik balik kenyataan itu,” ujar beliau.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa doktor yang merawat pelajar Tingkatan Satu berkenaan telah menyediakan laporan perubatan lengkap mengenai keadaan mangsa selepas kematian. Malah, beliau menegaskan sekali lagi bahawa tiada individu VVIP terlibat dalam usaha menutup siasatan kes Zara Qairina di Sabah.
Kes ini bukan sekadar soal salah sebut nama atau isu politik. Bagi remaja, ia mengingatkan kita tentang betapa seriusnya kesan perbuatan buli terhadap seseorang. Kehilangan Zara Qairina adalah satu tragedi yang membuka mata semua pihak tentang bahaya buli dalam kalangan pelajar.
Buli bukan gurauan. Ia boleh memberi kesan emosi yang mendalam dan dalam kes tertentu, meragut nyawa.
Jaga nama baik diri dan keluarga. Apa sahaja tindakan kita sebagai remaja akan membawa nama keluarga. Sedikit kesilapan boleh memberi kesan besar.
Berhati-hati dengan maklumat.
Jangan mudah menyebarkan nama atau tuduhan tanpa sahih kerana ia boleh melukakan orang lain yang tidak bersalah.Jadikan kisah Zara Qairina sebagai peringatan setiap tindakan, sama ada kata-kata atau perbuatan, membawa kesan yang mungkin kita sendiri tak sangka.