
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) menasihatkan sektor swasta untuk mempertimbangkan pelaksanaan kerja dari rumah atau Work-From-Home (WFH) sebagai salah satu langkah fleksibiliti kerja dalam situasi semasa yang mencabar. Nasihat ini hadir seiring dengan usaha kerajaan untuk memastikan keseimbangan antara produktiviti dan kesejahteraan pekerja.
Menerusi perutusan khas perubahan nilai subsidi dek impak konflik Asia Tengah yang disampaikan oleh beliau pada 26 Mac, semalam, DSAI turut menyentuh mengenai keperluan pendekatan kerja yang lebih fleksibel. Dalam ucapan tersebut, beliau menegaskan bahawa langkah WFH bukan sahaja sesuai untuk sektor awam, malah boleh diperluaskan kepada sektor swasta mengikut kesesuaian organisasi masing-masing.
Menurutnya, beliau percaya bahawa pelaksanaan WFH di sektor swasta sudah pun diamalkan oleh beberapa syarikat dan institusi kewangan tertentu sebelum ini. Justeru, DSAI menggesa agar lebih banyak organisasi mengambil pendekatan sama demi memastikan operasi kerja dapat diteruskan tanpa menjejaskan kecekapan perkhidmatan.

Pada masa yang sama, beliau menjelaskan bahawa kakitangan awam juga diberi kelonggaran untuk bekerja dari rumah secara berperingkat dan terpilih, tertakluk kepada ketetapan majikan masing-masing. Pendekatan ini dilihat sebagai langkah penyesuaian yang lebih praktikal dalam keadaan ekonomi dan global yang tidak menentu.
Tambah beliau, kerajaan akan terus menekankan aspek disiplin fiskal bagi mengelakkan pembaziran serta ketirisan dalam pentadbiran. Selain ity, usaha ini juga penting bagi memastikan kestabilan ekonomi negara terus terpelihara walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran global.
Di samping itu, walaupun dunia berdepan dengan pelbagai konflik dan ketidaktentuan, Malaysia masih berjaya menarik minat pelabur asing dan kekal sebagai antara destinasi pelaburan yang aktif di rantau ini. Perkara itu dilihat sebagai petanda positif terhadap keyakinan ekonomi negara.

Sementara itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa tren kerja hibrid sebenarnya sudah lama diamalkan oleh banyak sektor swasta sejak pandemik Covid-19 lagi. Perubahan ini menunjukkan bahawa model kerja fleksibel semakin diterima dalam ekosistem pekerjaan moden di Malaysia.
Dalam perkembangan berkaitan, ramai rakyat Malaysia menyuarakan harapan agar lebih banyak majikan mempertimbangkan pelaksanaan WFH, terutamanya berikutan isu kenaikan harga bahan api dan krisis bekalan di beberapa negara Asia yang memberi kesan kepada kos sara hidup.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!











