Kenali Nor Pheonix Diana, Wanita Bertudung Pertama Juarai Pertandingan Gusti

Share

Di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

Tidak menjadikan hijab sebagai penghalang untuk memulakan karier dalam bidang gusti, Nor Diana kini boleh berbangga dengan gelaran juara Malaysia Pro Wrestling – The Wrestleconi, baru-baru ini.

Menerusi laman Instagram, dia atau nama pentasnya, Nor Pheonix Diana sering berkongsi video-video dia beraksi di dalam gelanggang. Siapa sangka gadis cilik itu hanya berusia 19 tahun.

Melalui perkongsiannya, Diana debut di atas gelanggang tiga tahun lalu namun tidak memenangi apa-apa gelaran namun itu tidak membuatkan dia putus asa.

“Tiga tahun lalu saya membuat kemunculan saya di Kuash Theater dan tidak menang. tiga tahun kemudian, saya berdiri di gelanggang sama, menang, sebagai juara Wrestlecon @mwrwrestling baru.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada @ayezhaukatfonseka kerana mempercayai saya sejak hari pertama saya meletakkan kaki saya di dalam arena. Tanpa bimbingan dan tunjuk ajar, saya tidak berada di tempat saya hari ini.

“Kepada peminat, terima kasih terhadap semua sokongan dan kasih-sayang serta kepercayaan korang kepada saya dan MyPW (Persatuan Gusti Malaysia). Ia sangat bermakna buat saya di MyPW. Kita buat ini sebab minat, kita buat ini untuk korang semua. Sekali lagi, terima kasih.

“Dan kepada sesiapa yang bertanya, apakah lagi untuk Pheonix? Jawapan untuk soalan itu adalah ini hanya permulaan. Tiada siapa pernah lihat kemampuan sebenar Nor Pheonix Diana.

“Ada juara baru. Ini adalah permulaan untuk era baru,” tulisnya di Instagram.

Dalam pada itu, Diana juga menjelaskan bahawa dia tidak menerima layanan berbeza kerana dia seorang wanita ataupun kerana berhijab.

“Saya tidak dilayan secara berbeza hanya kerana saya seorang gadis, atau kerana saya memakai tudung. Saya adalah salah seorang daripada dua wanita di MyPW, dan kami berlatih dengan lelaki,” katanya yang memetik laporan Sun Daily.

Kejayaan Diana itu sememangnya wajar untuk dicontohi. Seawal usia belasan tahun lagi dia sudah mempunyai sesuatu yang boleh dibanggakan. Good job Pheonix!

IKLAN