
Kemalangan maut pelajar UniSZA di Jalan Kemajuan, Kuala Terengganu pada Isnin telah menggemparkan orang ramai apabila polis mengesahkan pemandu Honda Jazz yang terlibat mempunyai rekod rawatan psikiatri sejak tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor berkata, lelaki berusia 32 tahun itu dikenal pasti menghidap Major Depressive Disorder (MDD) dan telah beberapa kali menerima rawatan psikiatri di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bermula Januari 2025.
Menurut beliau, suspek kini masih dirawat di hospital sama selepas mengalami patah tangan kanan serta beberapa kecederaan lain akibat kemalangan tersebut.
“Suspek masih hidup dan berada dalam keadaan stabil. Dakwaan yang mengatakan suspek telah meninggal dunia adalah tidak benar. Dia dijangka menjalani pembedahan bagi kecederaan tangan yang serius,” katanya dalam satu kenyataan.
Perbuatan Sebelum Kejadian Berlaku
Siasatan awal polis mendapati sebelum kemalangan maut pelajar UniSZA itu berlaku, suspek dipercayai mencuri beberapa barangan termasuk wang tunai kira-kira RM200 daripada sebuah kenderaan yang diparkir berhampiran Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sekitar jam 1.45 tengah hari.
Selepas kejadian itu, suspek masuk semula ke dalam kenderaannya dan memandu dengan laju sebelum terbabit dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Kemajuan, seperti yang dirakam menerusi rakaman kamera papan pemuka.
ACP Azli menjelaskan hasil semakan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati Honda Jazz yang dipandu lelaki tersebut adalah milik adiknya dan bukan kenderaan curi seperti yang tular di media sosial selepas kemalangan maut pelajar UniSZA itu.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan serta menjejaskan sensitiviti keluarga mangsa dan suspek.
Menurut polis, suspek akan ditahan bagi tujuan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 selepas selesai menjalani rawatan dan disahkan benar-benar sihat.
Butiran Mangsa Dan Kronologi Nahas

Dalam kejadian kira-kira jam 1.55 tengah hari itu, mangsa Syakirah Hanan Mazli, 25, yang memandu Perodua Viva dari arah UniSZA menuju ke Bukit Kecil dipercayai sedang membelok ke kanan selepas lampu isyarat bertukar hijau sebelum dirempuh sebuah Honda Jazz dari arah bertentangan.
Mangsa merupakan pelajar semester dua Diploma Pascasiswazah Pendidikan di Universiti Sultan Zainal Abidin dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah. Tragedi ini menjadikan kemalangan maut pelajar UniSZA tersebut antara insiden jalan raya paling menyayat hati di Terengganu setakat ini.
Sumber : MalaysiaGazette
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!








