
Baru-baru ini, pasangan jaguh badminton negara, Kang Khai Xing dan Aaron Tai melakar sejarah manis apabila muncul juara pertama Jelajah Dunia selepas menguasai pentas final Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi yang berlangsung di Lucknow, India. Kemenangan ini sekaligus menandakan lonjakan besar dalam perjalanan profesional mereka sebagai antara beregu remaja lelaki yang sedang meningkat naik di pentas antarabangsa.
Dalam pada itu, aksi final yang berlangsung di Akademi Badminton Babu Banarasi Das U.P. itu menyaksikan gandingan pilihan keenam tersebut tampil bertenaga sejak awal permainan. Mereka berjaya mengejutkan rakan senegara yang juga pilihan ketiga kejohanan, Chia Weijie-Lwi Sheng Hao, dengan kemenangan straight set 21-9, 21-19 dalam tempoh hanya 32 minit.
Khai Xing-Aaron turut mempamerkan dominasi ketara pada set pertama apabila serangan berterusan mereka tidak mampu dipatahkan lawan. Rentak agresif dan pertahanan kemas jelas membezakan kedua-dua pasangan muda ini sepanjang permainan.
Set kedua bagaimanapun menyaksikan tentangan lebih sengit daripada Weijie-Sheng Hao yang cuba bangkit. Namun, ketenangan Khai Xing-Aaron pada saat genting membantu mereka mengekalkan momentum sebelum mengesahkan kemenangan kejuaraan Super 300 itu.
Kejayaan tersebut turut menambah rekod pertemuan positif Khai Xing-Aaron ke atas pasangan ranking ke-45 dunia itu, selepas mereka turut menang dalam pertemuan terdahulu pada Kejohanan Badminton Malaysia Super 100 di Iskandar Puteri, Johor bulan lalu.
Untuk rekod, kemenangan di Johor sebelum ini hadir dengan keputusan 21-18, 21-7, menjadikan kejayaan di India sebagai gelaran kedua mereka dalam tempoh dua bulan iaitu satu pencapaian signifikan buat gandingan ranking ke-57 dunia tersebut.
Sebagai juara, Khai Xing-Aaron membawa pulang hadiah bernilai USD18,760 (kira-kira RM78,000). Manakala, Weijie-Sheng Hao yang menamatkan saingan sebagai naib juara memperoleh USD9,120 atau sekitar RM38,000.
Sementara itu, kejayaan ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan mereka dalam ranking dunia tetapi turut memberi isyarat bahawa beregu muda negara bersedia mencabar kelompok elit dunia dalam siri Jelajah Dunia yang akan datang.
Sumber: Bernama
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.