
Baru-baru ini, tiga penyanyi K-Pop mencuri perhatian selepas mendedahkan realiti mengenai kehidupan sebagai pelatih yang penuh tekanan, khususnya melibatkan kawalan berat badan yang ketat dalam industri hiburan Korea Selatan.
Menerusi sebuah perkongsian video terbaru yang dimuat naik di YouTube Changsub BTOB, beliau bersama Chorong APINK dan Dongwoon Highlight berkongsi pengalaman masing-masing ketika berada di bawah agensi Cube Entertainment, sekaligus membuka sisi yang jarang didedahkan kepada umum.
“Ada penilaian setiap hujung minggu dan juga setiap hujung bulan,” jelas Chorong yang menggambarkan rutin ketat yang perlu dilalui oleh setiap pelatih.

Pada masa yang sama, Changsub tampil menjelaskan, “Penilaian mingguan adalah untuk melihat apa yang para trainee latih sepanjang minggu tersebut. Tetapi penilaian bulanan pula menentukan sama ada seseorang trainee itu akan disingkirkan atau terus kekal.” Kemudian dipersetujui oleh Chorong yang turut menambah bahawa proses itu merupakan saat yang sangat menakutkan.
Di samping itu, Changsub berkongsi bahawa setiap bulan merupakan tempoh yang sangat mendebarkan kerana pihak agensi tidak teragak-agak menyingkirkan pelatih yang tidak menepati standard, termasuk mereka yang gagal mengawal berat badan.

Selain itu, Chorong juga mendedahkan bagi pelatih wanita, mereka akan ditimbang setiap minggu, manakala Changsub sendiri mengakui berat badannya pernah turun secara drastik daripada 80 kilogram ke 60 kilogram akibat peraturan ketat tersebut.
Pendedahan ini sekali lagi membuka mata ramai tentang betapa ketatnya sistem latihan yang diamalkan dalam industri K-Pop, di mana bukan sahaja bakat menjadi ukuran, tetapi juga penampilan fizikal.

Kawalan berat badan yang dikenakan terhadap para pelatih juga dilihat sebagai satu standard tidak rasmi yang perlu dipatuhi bagi memastikan imej yang memenuhi kehendak pasaran dan industri.
Dalam masa sama, situasi ini turut mencetuskan perbincangan dalam kalangan peminat mengenai tekanan mental dan fizikal yang terpaksa dihadapi oleh bakal idola sebelum mereka berjaya menjejakkan kaki ke pentas sebenar.
Walaupun ramai yang akhirnya berjaya mencapai impian sebagai artis, kisah seperti ini membuktikan bahawa perjalanan untuk menjadi seorang idol K-Pop bukanlah sesuatu yang mudah, sebaliknya memerlukan pengorbanan besar yang sering kali tidak terlihat oleh peminat.
Sumber: Youtube Changsub BTOB @이창섭&저창섭
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!













