
Pelakon terkenal, Datuk Aaron Aziz baru-baru ini meraih perhatian selepas menyertai Karva Travel & Tours sebagai pemilik bersama dan pengarah iaitu sebuah syarikat yang memfokuskan kepada perkhidmatan pakej ibadah umrah serta pelancongan mesra Muslim.
Menurut Datuk Aaron atau pemilik nama sebenar Aaron Mustapha Aziz (50) berkata, pengalaman mengerjakan haji dan umrah sebelum ini membuka matanya tentang keperluan jemaah yang mahukan perjalanan ibadah lebih selesa, tersusun dan diyakini.
Di samping itu, beliau mengakui penglibatannya kali ini lebih serius kerana terlibat secara langsung dalam setiap aspek pengurusan jemaah.
Jelasnya, sebelum ini dirinya hanya berperanan sebagai duta bagi beberapa agensi pelancongan, namun kali ini Datuk Aaron mahu memastikan setiap jemaah menerima layanan terbaik sepanjang berada di Tanah Suci Mekah.
“Sebelum ini di agensi lain saya hanya dilantik sebagai duta sahaja dan tak ada kuasa untuk mengendalikan jemaah. Tetapi untuk agensi ini dari awal hingga akhir dan setiap perkara melibatkan jemaah saya ambil tahu. Saya mahu semuanya yang terbaik untuk mereka,” katanya ketika ditemui pihak media semasa sidang media pelancaran Karva Travel & Tours.
BACA: Aaron Aziz Ajak Bekas Banduan & Pelajar Henry Gurney Untuk Sertai Uji Bakat Lakonan
Dalam masa sama, pelakon filem ‘KL Gangster’ dan ‘Sheriff: Narko Integriti’ itu berkata penubuhan Karva Travel & Tours juga hadir dengan satu misi besar iaitu mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap agensi umrah selain membantu mereka yang masih ragu-ragu untuk melangkah ke Tanah Suci.
Tambahnya, pengalaman yang dilalui sebelum ini banyak mengajar beliau tentang kepentingan memberikan layanan terbaik kepada setiap jemaah agar mereka dapat menunaikan ibadah dengan lebih tenang dan selesa sepanjang berada di Tanah Suci.
Menurut Datuk Aaron lagi, pihaknya juga mahu memberi perhatian khusus kepada golongan warga emas dan individu yang mempunyai masalah kesihatan supaya urusan ibadah mereka berjalan dengan lebih lancar.
Malah, beliau melihat perjalanan umrah bukan sekadar perjalanan fizikal semata-mata, sebaliknya satu pengalaman spiritual yang cukup bermakna buat setiap individu.
“Alhamdulillah, Allah mudahkan perjalanan dan wujudnya Karva Travel & Tours. InsyaAllah, mudah-mudahan inilah juga menjadi satu dakwah dan saham akhirat yang saya ingin sampaikan,” ujarnya lagu.
Dalam pada itu, Aaron turut memasang impian untuk memperluaskan perkhidmatan syarikatnya dengan menawarkan pakej haji pada masa hadapan selain mahu melahirkan lebih ramai mutawif muda di Malaysia agar generasi muda lebih selesa dan dekat dengan perjalanan ibadah ke Tanah Suci.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.