
Syarikat produksi terkenal Bollywood, Dharma Productions yang diasaskan oleh Yash Johar khabarnya sedang merancang untuk menghasilkan sebuah filem berskala paling besar dalam sejarah penerbitan mereka.
Karan Johar yang kini mengetuai Dharma Productions selepas kematian ayahnya pada tahun 2004 juga dikatakan ingin mencetuskan semula fenomena yang pernah tercetus menerusi filem-filem klasik arahannya dahulu.
Antaranya termasuklah filem Kuch Kuch Hota Hai, Kabhi Khushi Kabhie Gham, Kabhi Alviida Na Kehna, My Name Is Khan, Student of the Year, Ae Dil Hai Mushkil dan Rocky Aur Rani Kii Prem Kahaani yang juga merupakan filem terakhir arahan Karan pada tahun 2023.
Kini tiga tahun selepas Rocky Aur Rani Kii Prem Kahaani, Karan sudah bersedia untuk mengarahkan filem kelapannya. Sudah tentu, ia akan menjadi sebuah projek epik apatah lagi dengan pengaruh dunia media sosial pada zaman ini.
Perkhabaran ini pantas telah menjadi topik perbualan hangat media dan peminat filem Bollywood di India.
Memetik sumber terdekat yang melaporkan kepada portal Pinkvilla, filem terbaru Karan Johar ini akan mengembalikan genre drama kekeluargaan dan dikatakan persis cara penceritaan Kabhi Khushi Kabhie Gham.
Dari aspek jadual pula, persediaannya dijangka bermula pertengahan tahun ini manakala penggambaran filem tersebut sekitar akhir 2026.
“Ia adalah sebuah drama kekeluargaan dinamik yang tentunya berkisarkan kisah romantik dan beremosi. Filem ini akan diterajui oleh dua pelakon lelaki utama dan dua pelakon wanita utama. Proses penggambaraan pula dijangka bermula tidak lama lagi,” catatnya.
Sekiranya filem ini benar-benar persis filem Kabhi Khushi Kabhie Gham, adakah barisan pelakonnya juga akan dikekalkan seperti filem hit tahun 2001 itu?
Lapor Pinkvilla, masih terlalu awal untuk kita mengetahui tajuk rasmi filem, tarikh tayangannya apatah lagi barisan pelakon yang telah dirisik oleh Karan.
Bagaimanapun, Karan dikatakan ingin mengekal vibe dan karakter seperti yang pernah dibawakan oleh Shah Rukh Khan, Kajol, Hrithik Roshan, Kareen Kapoor, Amitabh Bachchan dan Jaya Bachchan untuk filem Kabhi Khushi Kabhie Gham.
Jika segalanya berjalan lancar – dengan rekod cemerlang Karan Johar menerusi filem-filem arahannya sebelum ini – tidak mustahil filem baharunya ini akan muncul sebagai salah satu filem Bollywood paling diperkatakan pada dekad ini.
Peminat pastinya menantikan pengumuman rasmi seterusnya daripada Dharma Productions mengenai projek mega yang berpotensi menghidupkan semula nostalgia drama kekeluargaan Bollywood yang diminati ramai selama ini.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.