“Kami Akan Kembali Lebih Kuat” Gagal Pertahan Takhta, SRG.OG Sapu Naib Juara MSC 2025!

Share

Selangor Red Giants (SRG.OG) terpaksa akur melepaskan takhta juara dunia mereka selepas tewas 1-4 kepada gergasi Filipina, Team Liquid PH (TLPH) pada aksi akhir Piala Dunia e-Sukan (EWC) 2025 yang berlangsung di Riyadh, Arab Saudi baru-baru ini.

Walaupun gagal mempertahankan kejuaraan, aksi SRG.OG sepanjang kejohanan tetap memukau dan wajar dipuji apabila mereka bangkit dari permulaan goyah di peringkat kumpulan untuk menyingkirkan beberapa pasukan pilihan termasuk RRQ dan ONIC PH sebelum mara ke pentas final.

Menurut pengerusi SRG.OG, Simon Lim berkata, beliau berbangga dengan semangat juang luar biasa yang ditunjukkan pasukannya.

“Saya amat berbangga kerana perjalanan kami di sini seperti roller coaster dan bukan mudah kerana saya sendiri ragu-ragu. Saya rasa kami layak ke playoff, lapan terbaik pun cukup baik pada mulanya,” katanya.

Kredit foto: FB MPL Malaysia
Kredit foto: FB MPL Malaysia

“Namun, barisan pemain dan jurulatih membuktikan mereka mampu melawan segala rintangan untuk sampai ke peringkat grand final ini,” jelasnya lagi.

Meskipun tewas di tangan TLPH, Simon tetap optimis terhadap masa depan SRG.OG dan menyifatkan kekalahan ini sebagai sesuatu yang positif.

“Kekalahan ini bukan kerana tidak kuat tetapi kita tewas kepada pasukan yang lebih baik. Pujian harus diberikan kepada TLPH. Saya tetap percaya kepada pasukan dan pemain, kami akan kembali lebih kuat,” ujarnya.

Dalam pada itu, bintang SRG.OG, Muhd. Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman atau Sekys turut berkongsi rasa bangganya dan meluahkan rasa syukur apabila dapat berada di pentas akhir ini selama dua tahun berturut-turut serta menyifatkan perjalanan untuk ke tahap ini bukan mudah.

Kredit foto: FB MPL Malaysia
Kredit foto: FB MPL Malaysia

Sebagai naib juara, SRG.OG membawa pulang ganjaran bernilai AS$500,000 (RM2.13 juta), manakala TLPH selaku juara meraih habuan lumayan berjumlah AS$1 juta (RM4.28 juta).

Mengulas mengenai pencapaian tersebut, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh turut menyatakan rasa bangganya terhadap SRG.OG.

“Saya rasa tempat kedua bukan satu kegagalan. Ia satu pencapaian yang bagus. Hadiah yang dimenangi juga agak lumayan,” katanya.

Kredit foto: FB MPL Malaysia

“Jadi, saya ingin mengucapkan syabas kepada pasukan SRG.OG kerana berjaya mara ke final,” ucapnya lagi.

Sementara itu, kejohanan MLBB Piala Pertengahan Musim (MSC) turut menyaksikan ONIC PH meraih tempat ketiga selepas menewaskan ONIC ID 3-2 dalam aksi penentuan. Prestasi konsisten wakil Filipina itu jelas menunjukkan dominasi mereka di pentas antarabangsa.

Sumber: Bernama

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE