Berita

“Kalaulah Saya Tahu Itu Pertemuan Terakhir Kita…” –Syed Saddiq Kenang Momen Bersama Tun Dr Hasmah

Share

Pertemuan selama dua jam bersama Allahyarhamah Tun Dr Hasmah Mohd Ali baru-baru ini kini menjadi kenangan yang cukup bermakna buat Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan tunangnya, Bella Astillah.

Menerusi perkongsian di media sosial, Syed Saddiq meluahkan rasa terkilan kerana tidak menyangka pertemuan tersebut menjadi momen terakhir mereka bersama sebelum pemergian Allahyarhamah.

Malah, dia mengakui sekiranya mengetahui perkara itu lebih awal, pastinya dia mahu masa bersama Tun Dr Hasmah dihentikan lebih lama.

“Kalaulah saya tahu itu pertemuan terakhir kita, saya berharap agar dua jam itu berkekalan selama-lamanya.

“Tun ketawa bersama kami. Bergurau dengan kami. Berkongsi cerita, memberi nasihat tentang perkahwinan, keluarga dan kehidupan.

Kenangan Penuh Gelak Tawa

Mengimbau kembali pertemuan tersebut, Syed Saddiq menyifatkan Allahyarhamah sebagai seorang insan yang baik hati, mesra dan mempunyai sisi humor yang membuatkan suasana bersama terasa begitu dekat.

“Dia seorang yang baik hati, kelakar, mesra dan memiliki kebijaksanaan yang hanya lahir daripada pengalaman hidup yang penuh dengan kasih sayang serta pengorbanan.

“Dan hari ini, Tun sudah tiada. Saya benar-benar masih tidak mampu menghadamnya. I love you, Tun. More than the universe will ever know,” kongsinya.

Dalam pada itu, Syed Saddiq turut mengakui dirinya masih sukar menerima hakikat bahawa Allahyarhamah telah pergi buat selama-lamanya.

Bawa Nasihat Tun Dalam Kehidupan

Menurutnya, pemergian Allahyarhamah sememangnya meninggalkan kesan yang mendalam buat dirinya.

“Hati saya hancur. Sebahagian daripada diri saya masih enggan percaya bahawa anda sudah tiada lagi di sini.

“Namun, ini adalah ketentuan Allah. Kita datang daripada-Nya dan kepada-Nya kita kembali.

Syed Saddiq turut merakamkan penghargaan atas kenangan terakhir yang sempat dikongsi bersama Bella, selain setiap nasihat yang diberikan oleh Allahyarhamah kepada mereka.

“Thank you, Tun. Terima kasih kerana memberikan Bella dan saya satu kenangan terakhir yang begitu indah.

“Terima kasih atas setiap gelak tawa, setiap cerita dan setiap nasihat yang Tun tinggalkan kepada kami,” katanya.

Hajat Ke Majlis Perkahwinan Tidak Kesampaian

Dalam perkongsian sama, Syed Saddiq memberitahu Allahyarhamah sebenarnya mempunyai hajat untuk hadir ke majlis perkahwinannya bersama Bella yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Namun, hasrat tersebut tidak kesampaian susulan pemergian Allahyarhamah.

“Saddiq dan Bella tak dapat memenuhi hajat Tun untuk hadir ke majlis perkahwinan kami nanti.

“Namun, saya berjanji kepada Tun bahawa nasihat Tun itu akan kami bawa bersama dalam perkahwinan dan kehidupan kami di rumah, serta insya-Allah sepanjang hayat kami.

Mengakhiri perkongsiannya, Syed Saddiq menitipkan doa agar Allahyarhamah ditempatkan di kedudukan tertinggi di syurga.

“Semoga Allah mengurniakan Tun kedudukan yang tertinggi di dalam syurga. Sehingga kita bertemu lagi, Tun,” ujarnya.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath