Gaya Hidup

5 Pembeli Terpantas Sambal Nyet Bilis Bakal Terbang Ke Dolomites, Italy Bersama KA!

Share

Kalau tahun lepas Khairul Aming mencipta kenangan dengan membawa lima pemenang bertuah bercuti ke New Zealand, tahun ini pengalaman yang lebih luar biasa menanti.

Menerusi satu perkongsian di Instagram, Khairul Aming mengumumkan bahawa sempena pelancaran Sambal Nyet Bilis, lima pembeli terpantas yang membeli lima botol produk tersebut bakal diterbangkan ke Dolomites, Italy pada Oktober ini.

Lebih menarik, setiap pemenang juga boleh membawa seorang plus one, menjadikan seramai 10 orang akan menikmati percutian yang ditaja sepenuhnya, tertakluk kepada terma dan syarat.

Beli Lima Botol KA Sambal Nyet Bilis, Berpeluang Terbang Ke Europe

Menurut KA, peluang ini hanya terbuka kepada mereka yang membuat pembelian ketika sesi TikTok Live pada Jumaat ini.

Bagaimanapun, pembeli perlu membuat pembayaran menggunakan online banking atau DuitNow kerana kaedah lain seperti kad kredit, kad debit, QR, e-wallet dan PayLater tidak layak untuk pemilihan pemenang.

Ini bermakna pembeli yang ingin merebut peluang tersebut perlu memastikan kaedah pembayaran yang digunakan memenuhi syarat yang telah ditetapkan bagi mengelakkan pembelian mereka tidak layak dipertimbangkan.

Dolomites, Antara Lokasi Paling Cantik Di Italy

Bagi yang belum mengenali destinasi ini, Dolomites merupakan kawasan pergunungan yang terletak di utara Italy dan diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Kawasan ini terkenal dengan panorama gunung yang dramatik, tasik berwarna biru kehijauan serta perkampungan kecil yang menjadi antara destinasi pelancongan paling popular di Eropah. Keindahan landskapnya menjadikan Dolomites pilihan ramai pelancong dari seluruh dunia yang ingin menikmati suasana alam semula jadi yang memukau.

Menurut KA, seperti trip-trip sebelum ini, percutian tersebut bukan sekadar melancong, malah dipenuhi dengan pelbagai aktiviti dan pengalaman spontan yang sukar dilupakan.

Tahun lalu ketika membawa para pemenang ke New Zealand, mereka bukan sahaja menikmati pemandangan alam semula jadi, malah sempat mendaki gunung, menaiki helikopter ke kawasan bersalji, berkelah di tepi tasik, melihat stargazing di tengah hutan, menaiki cruise, menikmati hasil ladang tempatan dan memasak bersama-sama.

Jelas KA, konsep percutian yang dibawanya sentiasa bersifat santai dan penuh kejutan, menjadikan setiap trip mempunyai pengalaman yang berbeza serta meninggalkan kenangan yang sukar dilupakan oleh para peserta.

Ruangan Komen Dah Bertukar Jadi ‘Battle’

Sejurus pengumuman dibuat, rata-rata warganet dilihat cukup teruja dan sudah mula bersedia untuk berebut peluang menjadi antara lima pembeli terpantas.

Ruangan komen turut dibanjiri pelbagai reaksi menghiburkan seperti:

“Good luck battle semua!”

“Rumah siapa ada line paling laju woi!”

“Aku dah ready cari personal battle ni.”

Ada juga yang bergurau mengatakan mereka sudah bersedia memastikan sambungan internet berada dalam keadaan terbaik demi merebut peluang bercuti ke Italy.

Nampaknya, pelancaran Sambal Nyet Bilis pada Jumaat ini bukan sekadar memperkenalkan produk baharu, malah bakal menjadi antara sesi jualan yang paling dinanti-nantikan oleh pengikut KA.

Mana tidaknya, hanya dengan membeli lima botol sambal, lima individu bertuah berpeluang menikmati percutian ke salah satu destinasi tercantik di Eropah bersama insan tersayang.

Sumber : Instagram Khairul Aming

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Published by
Darwisy