
Bintang terkenal K-Pop, Jungkook BTS, sekali lagi menjadi mangsa cubaan pencerobohan rumah apabila pihak polis berjaya menahan seorang wanita warga Jepun berusia dalam lingkungan 50-an baru-baru ini.
Menurut laporan media antarabangsa, wanita tersebut ditahan kerana disyaki cuba memasuki kediaman Jungkook atau pemilik nama sebenar Jeon Jungkook (28) tanpa kebenaran. Kes berkenaan kini sedang disiasat oleh pihak berkuasa Korea Selatan.
Dalam pada itu, Balai Polis Yongsan, Seoul juga mengesahkan bahawa seorang wanita warganegara Jepun yang dikenali sebagai A telah ditahan pada 16 Disember lalu atas tuduhan cubaan menceroboh masuk ke rumah penyanyi berkenaan dan siasatan turut dijalankan di bawah Akta Anti-Menghendap.
Di samping itu, hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai telah menekan mekanisme kunci pintu hadapan kediaman Jungkook beberapa kali antara 12 hingga 14 November. Namun begitu, pihak polis masih belum dapat menjalankan soal siasat kerana wanita tersebut dilaporkan berada di luar negara ketika ini.
Sekadar info, insiden ini bukanlah kali pertama melibatkan pelanggaran privasi terhadap Jungkook. Pada Ogos lalu, seorang wanita warga Korea berusia dalam lingkungan 40-an dilaporkan telah menceroboh kawasan parkir kediamannya secara haram.
Kes tersebut kemudiannya diserahkan kepada pihak pendakwa raya dan sehingga kini masih berada dalam proses siasatan. Kejadian berulang ini sekaligus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan selebriti berkenaan.
Selain itu, satu lagi insiden yang sama turut dilaporkan awal tahun ini apabila seorang wanita warga China berusia dalam lingkungan 30-an ditahan polis selepas cuba memasuki rumah Jungkook. Wanita tersebut bagaimanapun menerima penangguhan pendakwaan atas kesalahan cubaan menceroboh masuk.
Dalam perkembangan terkini, BTS kini sedang giat membuat persiapan untuk kemunculan semula sebagai kumpulan lengkap yang dijadualkan pada musim bunga tahun hadapan, sekaligus meningkatkan keterujaan dan penantian hangat dari peminat di seluruh dunia.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.