
Mungkin tidak ramai peminat bola sepak tempatan yang mengenalinya, namun siapa sangka bekas pertahanan kanan Arsenal, Joshua Noah Robinson baru-baru ini mencuri perhatian apabila beliau mendedahkan bahawa dirinya mempunyai pertalian darah dengan Malaysia.
Menerusi sebuah temubual yang disiarkan di laman rasmi Arsenal, Joshua Noah Robinson menceritakan latar belakangnya yang unik serta pengalamannya bersama skuad utama The Gunners. Selain itu, pemain berusia 21 tahun juga mendedahkan asal-usul keluarganya dalam temubual yang sama bersama kelab lamanya sebelum berpindah ke Wigan Athletic pada Januari lalu.
Menurut laporan tersebut, Joshua mengakui bahawa ibunya berdarah campuran Malaysia dan Inggeris, manakala bapanya berasal dari Jamaica. Pendedahan itu sekaligus menimbulkan rasa bangga dalam kalangan penyokong tempatan yang teruja apabila mengetahui wujudnya pemain berdarah Malaysia di pentas bola sepak Eropah.
“Saya membesar di Leyton, timur London. Ayah saya orang Jamaica dan ibu saya pula berdarah Malaysia-Inggeris,” katanya dalam temu bual bersama media rasmi Arsenal.
Sepanjang bersama Arsenal, Joshua Noah Robison juga sempat berkongsi kenangan indah semasa menimba pengalaman berharga di bawah kendalian pengurus utama, Mikel Arteta. Malah, pemain muda ini turut disenaraikan dalam skuad utama Arsenal untuk saingan Liga Juara-Juara (UCL) musim 2024-2025, satu pencapaian yang pastinya menjadi kenangan bermakna dalam kerjaya awalnya.
Tidak lama kemudian, pemain muda itu berhijrah ke Wigan Athletic bagi mendapatkan lebih banyak minit permainan serta peluang mengembangkan potensi dirinya. Namun selepas tamat kontrak bersama kelab tersebut, Joshua kini berstatus ejen bebas dan masih belum menyertai mana-mana pasukan baharu.
Kini, walaupun beliau belum pasti destinasi seterusnya, latar belakang dan pengalaman yang dimilikinya pastinya menjadikan Joshua Noah Robinson antara nama yang menarik untuk diperhatikan oleh kelab-kelab Eropah mahupun Asia. Tidak mustahil juga jika suatu hari nanti, peminat bola sepak Malaysia dapat melihat pemain berdarah tempatan ini menyarung jersi Harimau Malaya.
Dengan bakat dan semangat yang dimiliki, Joshua Noah Robinson membuktikan bahawa darah Malaysia tetap mengalir di kancah bola sepak antarabangsa dan menjadi inspirasi buat pemain muda tempatan untuk terus berusaha mencapai impian di peringkat global.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.