Berita

Johan Ghazali, Keluarga Terkandas Di Tanah Suci Akibat Konflik Di Asia Barat

Share

Pengalaman kali pertama menunaikan ibadah Umrah di tanah suci akan diingati buat selama-lamanya buat jaguh Muay Thai kebangsaan, Johan Ghazali Zulfikar setelah dia bersama keluarga besarnya terkandas di Mekah.

Ia berikutan ketegangan konflik politik yang memuncak sejak Sabtu akibat tindakan Amerika Syarikat dan sekutunya, Israel yang melancarkan serangan terhadap Iran.

Sebagai tindakan balas, Iran melancarkan gelombang serangan menggunakan dron dan peluru berpandu ke arah Israel dan beberapa pangkalan ketenteraan Amerika Syarikat di tujuh buah negara Arab termasuklah di Bahrain, Arab Saudi, Kuwait, Iraq, Qatar, Syria dan ibu negara UAE, Abu Dhabi.

Ujian Umrah Yang Tidak Diduga

Dek konflik politik yang berlaku ini, Johan yang mesra disapa dengan panggilan Jojo menjadi antara rakyat Malaysia yang tidak dapat menaiki pesawat dari Lapangan Terbang Sultan Abdulaziz di Jeddah menuju ke tanah air.

Di sebalik nasib yang tidak terduga ini, Johan tetap percaya ada rahmat di sebalik apa yang menimpa mereka sekeluarga kali ini.

Menerusi hantaran di Instagram, Johan berkongsikan keadaan keluarga mereka di kawasan hotel yang didiami, di Masjidil Haram dan di kawasan sekitar kota Mekah.

“Perancangan Allah. Dapat luang masa lebih lama di sini (Mekah),” catatnya.

Ketenangan yang dizahirkan oleh atlet muda itu jelas memperlihatkan sikap positif dalam menghadapi situasi sukar.

Walaupun berdepan ketidaktentuan jadual penerbangan, Johan memilih untuk melihat kelebihan yang diberikan kepadaNya di sebalik ujian tersebut.

BACA: “Dekat Sini Lainlah ‘Feeling’ Dia,” Johan Ghazali Syukuri Peluang Umrah Pertama Bersama Keluarga

Selain memperbanyakkan ibadah, Johan turut menggunakan masa terluang itu untuk giat berlatih agar tahap kecergasannya sentiasa terjaga.

Operasi Penerbangan Digantung Sementara

Untuk rekod, beberapa syarikat penerbangan antarabangsa memutuskan untuk menghentikan sementara operasi penerbangan ke dan dari beberapa destinasi di rantau Asia Barat.

Langkah ini diambil bagi mengelakkan risiko keselamatan ketika keadaan ruang udara berada dalam situasi tidak stabil.

Pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang sepatutnya dinaiki Johan sekeluarga turut tersenarai antara syarikat yang mengambil langkah berjaga-jaga tersebut, menurut laporan di laman web flightaware.com

.

Situasi ini memberi gambaran jelas bagaimana konflik geopolitik mampu memberi kesan langsung kepada orang awam, termasuk jemaah yang sedang menunaikan ibadah di tanah suci.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ